TANGKAP layar video penipuan skim pelaburan yang memaparkan wajah serta suara mirip Anwar Ibrahim dan Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) memandang serius kemunculan video `deepfake’ berteknologi tinggi yang menggunakan wajah dan suara tokoh utama negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Digital, Gobindh Singh Deo.

Presiden MCCA, Siraj Jalil berkata, video itu disebarkan secara meluas di media sosial (iklan berbayar) dan aplikasi pesanan pantas untuk memperdaya orang ramai supaya menyertai skim pelaburan yang sebenarnya tidak wujud.

Lebih membimbangkan, ujar beliau, video itu kelihatan sangat meyakinkan apabila dihasilkan lengkap dengan mimik muka dan nada suara dua pemimpin negara berkenaan yang seakan-akan asli.

Siraj Jalil

“Kalau Perdana Menteri pun boleh dipalsukan untuk menipu rakyat, siapa lagi yang selamat?

“Inilah bukti jelas penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini berada pada tahap yang amat membimbangkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai klip video yang dihasilkan dalam bentuk laporan berita antarabangsa yang tersebar di laman sosial yang memaparkan wajah serta ucapan Anwar serta Gobind berkenaan satu skim pelaburan.

Video berdurasi kira-kira tiga minit itu cuba mempromosikan satu  pelaburan palsu kononnya mampu memberikan pulangan sehingga RM100,000 dalam tempoh singkat hanya dengan modal RM1,000.

Sementara itu, Siraj berkata, video itu bukan sekadar soal teknologi, tetapi melibatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan maklumat sahih.

Apatah lagi, ujar beliau, penghasilan video deepfake seperti itu boleh digunakan untuk menipu, memeras ugut, malah mengganggu kestabilan negara jika tidak dikawal dari sekarang.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan segera menggubal undang-undang khusus berkaitan kepenggunaan AI bagi melindungi rakyat daripada ancaman nyata penyalahgunaan AI seperti video palsu berunsur penipuan dan fitnah.

Dalam masa sama, katanya media sosial seperti Facebook, TikTok, dan YouTube perlu bertindak segera dan drastik termasuk mengesan dan menyekat video deepfake dengan lebih proaktif sebelum ia tular bagi mengelakkan pengguna menjadi mangsa

Selain itu, ujar beliau, rakyat juga perlu celik AI dan digital yang mana pendidikan literasi digital perlu dipertingkat supaya orang ramai tahu membezakan video sahih dan sebaliknya.

“Kami di MCCA menyeru semua pihak termasuk kerajaan, industri dan rakyat untuk berganding bahu dalam menangani cabaran ini.

“Jangan tunggu sehingga lebih ramai jadi mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast