KUALA LUMPUR – Gesaan supaya Sarawak diberikan 30 peratus pegangan ekuiti dalam Petronas bukan sahaja akan menghakis keupayaan fiskal kerajaan pusat, malah akan membuka jalan kepada perebutan kuasa antara negeri.
Sambil mengecam keras cadangan itu, Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair (Star), Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, gesaan tersebut juga boleh mengancam kestabilan politik dan ekonomi negara.
Tegas beliau, cadangan itu bukan sahaja bertentangan dengan asas Perlembagaan dan undang-undang negara, malah merupakan ancaman terang-terangan terhadap kedaulatan ekonomi nasional serta semangat federalisme yang menjadi asas penubuhan Malaysia.
“Sekretariat Tanahair melihat cadangan ini bukan sahaja sebagai satu pencabulan terhadap Perlembagaan Persekutuan, malah satu bentuk pengkhianatan terhadap semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menuntut kesatuan dan kerjasama erat antara negeri dan Persekutuan.
“Tambahan pula, pengiktirafan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai aggregator tunggal gas di Sarawak yang dilakukan tanpa pembaharuan undang-undang yang sewajarnya mencetuskan dualisme kuasa dalam pengurusan sektor tenaga nasional.
“Ini bukan sahaja menimbulkan ketidaktentuan dasar, malah mengancam keyakinan pelabur dan melemahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas cadangan Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen yang dilaporkan mendesak supaya Kerajaan Negeri Sarawak diberikan 30 peratus pegangan ekuiti dalam Petronas.
Sementara itu, Armin Baniaz menyelar kenyataan Chieng Jen yang disifatkan dibuat di bawah agenda politik sempit dan diselebungi retorik `hak negeri’.
Sedangkan, dakwa beliau, tindakan Chieng Jen itu seolah-olah berusaha melemahkan kuasa Pusat dan membuka ruang kepada penghakisan keutuhan nasional.
“Kenyataan beliau kali ini hanyalah satu lagi episod dalam siri cubaan sistematik untuk merobek asas kenegaraan Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia memerlukan kepimpinan yang tegas, dasar yang konsisten dan perpaduan yang kukuh, bukannya permainan politik sempit yang membahayakan masa depan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia serta pimpinan kerajaan untuk menolak sekeras-kerasnya desakan songsang yang dibuat Chieng Jen berkenaan.
“Petronas mesti kekal sebagai simbol kedaulatan ekonomi nasional, milik penuh seluruh rakyat Malaysia, dan tidak sesekali dikompromi oleh agenda politikus oportunis seperti Chieng Jen,” katanya. – MalaysiaGazette
















