Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berangkat bercemar duli ke lokasi program.

KUALA LUMPUR – Himpunan Perlis Perodua Day dan Autoshow 2025 berjaya mencatat sejarah di Perlis apabila mengumpulkan sebanyak 1,751 buah kenderaan Perodua pelbagai model dari seluruh negara.

Program selama tiga hari itu yang diadakan bagi menyambut Jubli Perak 25 tahun sempena pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berlangsung di Pprkarangan Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar baru-baru ini.

Program itu adalah anjuran Yayasan Amal Tengku Hajjah Budriah Perlis dan Collectible Museum dengan kerjasama Persatuan Ragbi Negeri Perlis serta dikelolakan oleh Kelab Kancil VS Mira.

Kemuncak acara apabila Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berangkat bercemar duli ke lokasi program serta meluangkan masa meninjau pelbagai jenis kereta Perodua termasuk kereta Perodua yang dimodifikasi untuk kegunaan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Baginda telah menzahirkan sokongan kepada aktiviti berorientasikan peningkatan ekonomi komuniti, melestarikan industri automotif tempatan dan seterusnya menjadi aspirasi positif untuk anak-anak muda.

kereta Perodua yang dimodifikasi untuk kegunaan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Sementara itu, Pengerusi Pelaksana Projek di bawah Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah, Tengku Syarif Syed Razlan berkata, program Perlis Perodua Day 2025 itu telah berjaya menarik semaksimum himpunan kereta Perodua pelbagai model dan modifikasi.

Beliau yang juga merupakan Penaung Persatuan Ragbi Negeri Perlis berharap kejayaan itu akan menjadi satu pencetus kepada program-program seumpamanya di masa-masa akan datang.

Dalam pada itu, buat julung kalinya, selain Himpunan Perlis Perodua Day 2025, dua lagi acara diadakan dalam satu platform iaitu Perlis Royal 7, dan Cerita Foodfest 2025.

Pelbagai acara disajikan sepanjang program antaranya Kejohanan Perlis Royal 7, bersama artis dan pempengaruh, Kaunter Bayaran Polis dan JPJ, Demo Keselamatan oleh APM, Pesta Jualan Makanan dan Minuman Viral dan Tempatan, Petting Zoo dan Perodua Auto Show. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast