KUALA LUMPUR – YTL Communications Sdn. Bhd. mengesahkan pematuhan arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyerahkan rekod penggunaan rangkaian mudah alih bagi Q1 2025.

Dalam kenyataannya, syarikat itu komited menyokong mandat kerajaan yang diluluskan baru-baru ini untuk menggunakan Data Telefon Mudah Alih (MPD) untuk statistik nasional.

“YTL Communications telah mengambil langkah rapi untuk menganonimkan semua data sebelum penyerahan.

“Tiada maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi telah dikongsi dan privasi pelanggan tetap menjadi keutamaan kami.

“Kami kekal komited untuk menyokong inisiatif nasional sambil mengekalkan standard perlindungan data peribadi yang tinggi,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu, tiga syarikat telekomunikasi (telco) komited untuk bekerjasama dengan SKMM, tanpa berkompromi dengan privasi dan perlindungan data pelanggan masing-masing.

Dalam kenyataan berasingan, tiga telco tersebut – CelcomDigi, Telekom Malaysia (TM), dan U Mobile sepakat bahawa butiran Data Telefon Bimbit (MPD) yang diserahkan kepada SKMM tidak mengandungi maklumat peribadi pelanggan yang boleh dikenal pasti.

Terdahulu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan telco tidak akan memberikan sebarang maklumat yang memiliki data peribadi individu kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata, perkara tersebut lebih menunjuk kepada trend supaya maklumat yang lebih terperinci dapat dikumpulkan mengenai mutu, tahap perkhidmatan dan jumlah pengguna yang ada di satu-satu mukim atau daerah.

Sebelum ini, SKMM mempertahankan arahannya yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit dibuat dari Januari hingga Mac.

Suruhanjaya itu berkata tiada maklumat peribadi yang akan diakses, diproses atau didedahkan oleh SKMM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast