Maxis.

KUALA LUMPUR – Satu lagi syarikat pengendali rangkaian mudah alih, Maxis memberi jaminan kesemua data pelanggan dianonimkan dan diproses secara agregat dalam persekitaran yang selamat.

Dalam kenyataan, syarikat itu berkata, pihaknya memberi keutamaan tertinggi terhadap privasi dan keselamatan pelanggan berhubung pengumpulan Data Telefon Bimbit (MPD).

“Tiada akses kepada pemprosesan atau perkongsian maklumat pengenalan peribadi pada sebarang peringkat.

“Kesemua data dianonimkan dan mematuhi sepenuhnya Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.Proses dan langkah-langkah kawalan sedia ada telah dilaksanakan untuk memastikan data peribadi pelanggan tidak akan dikompromi,” ujar kenyataan tersebut.

Sementara itu, Telekom Malaysia (TM) turut menjelaskan, MPD yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah dalam bentuk anonim dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

“Pengemukaan data ini dilaksanakan di bawah tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar syarikat yang berkaitan serta undang-undang dan peraturan kawal selia negara.

“TM kekal komited dalam memastikan keselamatan dan privasi data pelanggan terus terpelihara dengan penuh tanggungjawab dan integriti,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu, YTL Communications Sdn. Bhd. mengesahkan pematuhan arahan SKMM untuk menyerahkan rekod penggunaan rangkaian mudah alih bagi Q1 2025.

Dalam kenyataannya, syarikat itu komited menyokong mandat kerajaan yang diluluskan baru-baru ini untuk menggunakan Data Telefon Mudah Alih (MPD) untuk statistik nasional.

Dalam pada itu, dua syarikat telekomunikasi (telco) komited untuk bekerjasama dengan SKMM, tanpa berkompromi dengan privasi dan perlindungan data pelanggan masing-masing.

Dalam kenyataan berasingan, CelcomDigi dan U Mobile sepakat bahawa butiran MPD yang diserahkan kepada SKMM tidak mengandungi maklumat peribadi pelanggan yang boleh dikenal pasti.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan telco tidak akan memberikan sebarang maklumat yang memiliki data peribadi individu kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata, perkara tersebut lebih menunjuk kepada trend supaya maklumat yang lebih terperinci dapat dikumpulkan mengenai mutu, tahap perkhidmatan dan jumlah pengguna yang ada di satu-satu mukim atau daerah.

Sebelum ini, SKMM mempertahankan arahannya yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit dibuat dari Januari hingga Mac.

Suruhanjaya itu berkata tiada maklumat peribadi yang akan diakses, diproses atau didedahkan oleh SKMM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast