Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland.

KUALA LUMPUR –  Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengecam pihak yang menggunakan nama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tanpa mandat sah dan menggesa Jawatankuasa Bersama Khas (JBK) menghentikan sebarang usaha yang dilihat menjejaskan keharmonian hubungan antara kerajaan, majikan dan pekerja.

Dalam masa yang sama, Setiausaha Agung kongres berkenaan Abdul Rahman Mohd Nordin kesal dengan kenyataan serta tindakan individu tertentu yang mendakwa mewakili JBK mencetuskan kekeliruan dan mencemarkan imej negara.

Katanya, situasi itu bukan sahaja menjejaskan reputasi negara, malah memberi kesan langsung kepada keberadaan kongres tersebut di Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland yang sedang berlangsung.

“Sebagai perwakilan terbesar dalam MTUC, CUEPACS memandang serius kegagalan JBK menjalankan pemilihan dalam tempoh yang ditetapkan yang akhirnya menyebabkan tiadanya wakil pekerja ke ILC buat pertama kali dalam sejarah negara,”

“Oleh kerana urusan tiket dan penginapan telah dibuat lebih awal, pembatalan kehadiran tidak dapat dilakukan pada saat akhir dimana segala kos dibiayai oleh Kesatuan Gabungan CUEPACS masing-masing dan CUEPACS,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, isu berkenaan dibangkitkan semasa pertemuan rasmi CUEPACS bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Zurich, Switzerland.

Menurut Abdul Rahman, pertemuan yang diketuainya itu turut dihadiri oleh 16 orang delegasi CUEPACS bagi membincangkan secara langsung isu ketidakhadiran wakil pekerja ke ILC.

“Dalam pertemuan tersebut, CUEPACS telah memberikan penjelasan mengenai situasi sebenar dan menegaskan bahawa mandat JBK adalah untuk mengadakan pemilihan semula kepimpinan MTUC seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Rayuan, bukannya mewakili MTUC secara rasmi atau membuat kenyataan yang mengelirukan di pentas antarabangsa,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kesatuan pekerja seumpamanya diberikan ruang untuk mendaftar terus dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi memastikan insiden yang sama tidak berulang.

Baru-baru ini, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkata ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke persidangan tersebut adalah disebabkan MTUC sebagai organisasi induk kesatuan sekerja terbesar di Malaysia tidak mempunyai barisan kepimpinan.

Menurut Kesuma, Mahkamah Rayuan pada 21 Februari 2025 telah mengarahkan agar MTUC menjalankan pemilihan semula kepimpinan mereka dalam tempoh 90 hari yang akan diuruskan oleh JBK.

Pemilihan yang sepatutnya dijalankan pada Mei 2025 telah ditangguhkan ke 10 Ogos 2025 dan menyebabkan MTUC tidak mempunyai kepimpinan yang sah bagi mewakili pekerja dalam mana-mana platform rasmi termasuk ILC.

JBK telah ditubuhkan khusus untuk mengendalikan pemilihan semula MTUC tetapi tidak mempunyai mandat untuk membuat keputusan dasar atau mencalonkan nama bagi mewakili pekerja ke forum antarabangsa.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast