Adinda Amiro.

KUALA LUMPUR – Komposer, Adinda Amiro meninggal dunia pada usia 66 tahun di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang semalam.

Berita pemergian Adinda atau nama sebenarnya, Saidin Omar disahkan Timbalan Pengerusi Music Malaysia, Ayob Abd Majid.

“Kami merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga Allahyarham Adinda Amiro atas pemergian arwah ke rahmatullah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sementara itu, Ayob turut menyifatkan pemergian komposer yang terkenal menerusi lagu Permaidani nyanyian Aris Ariwatan itu sebagai sebagai individu yang sangat berbakat.

“Karya-karya Allahyarham merentasi masa dan menyentuh jutaan hati rakyat Malaysia. Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar bagi dunia muzik dan budaya Malaysia.

“Namun, legasi seni dan suara hatinya akan terus hidup dalam lagu-lagu yang ditinggalkan.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan para solihin, dan diberikan ganjaran atas segala
sumbangan seninya yang menghidupkan jiwa-jiwa insan,” ujarnya.

Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Gombak, pagi ini.

Sepanjang hayat, Allahyarham banyak menghasilkan lagu untuk penyanyi popular tanah air dan kebanyakannya menjadi malar segar.

Antara karya Allahyarham yang terus segar dalam ingatan peminat termasuk lagu Aduhai Seribu Kali Sayang dan Bukan Aku Aku Tak Cinta yang dinyanyikan Allahyarham Saleem Iklim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast