SHAH ALAM – UMNO bukan parti politik yang terlalu bergantung kepada personaliti seseorang hingga fungsinya terhenti apabila pemimpin parti itu bertindak meninggalkan perjuangan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya tidak mahu terganggu dengan keputusan yang dibuat bekas pemimpinnya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Kita pastinya menyahut (tiada ketegangan dengan Zafrul), tidak mahu melihat isu Zafrul adalah satu isu yang akhirnya UMNO Selangor tak boleh bergerak ke mana-mana.
“Seperti mana saya kata, pemimpin datang dan pergi, yang tinggal mesti meneruskan perjuangan, UMNO ini bukan kerana seorang personaliti, UMNO adalah kita.
“Malam ini kita lihat kekitaan dan kita bergerak ke depan. Saya tidak mahu terganggu dengan keputusan itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada majlis Perasmian Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu berkuat kuasa pada 31 Mei lalu.
Beliau juga mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Sementara itu, Megat Zulkarnain mengakui persahabatan antara beliau dengan Tengku Zafrul masih seperti biasa dan keadaan itu berbeza dengan fahaman politik.
“Siang tadi saya bertemu dengan beliau dalam majlis yang diadakan di Matrade.
“Kita tiada masalah berhubungan dengan persahabatan macam biasa, tapi prinsip partinya berbeza, itu perkara kedua,” katanya.
Katanya, beliau akan terus memimpin UMNO Selangor walaupun kehilangan seorang pemimpin bertaraf menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“UMNO Selangor tidak boleh terganggu dengan keputusan ini, perjuangan mesti diteruskan dan saya bertanggungjawab untuk memandu UMNO Selangor.
“Hari ini saya boleh lihat kesungguhan ahli-ahli, jawatankuasa, sayap-sayap tanpa sebarang bantuan, mereka datang untuk menyahut panggilan Badan Perhubungan, ini satu tanda yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















