Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor 2025 di Hotel Tenera, Bangi. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2025

BANGI – Jumlah pelajar yang berpotensi gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor mencatatkan penurunan ketara daripada 14,000 orang pada tahun 2018 kepada hanya sekitar 700 pelajar bagi tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penurunan tersebut adalah hasil daripada pelaksanaan program intervensi pendidikan secara menyeluruh melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan agensi berkaitan.

“Jumlah pelajar yang berpotensi tercicir atau gagal dalam keputusan SPM telah berkurang dengan sangat signifikan. Tahun 2018 ada 14,000 orang, tahun 2024-2025 sekitar 700 orang. Dua tahun lepas, jumlahnya sekitar 2,000 orang.

“Ini adalah hasil daripada intervensi dan juga kolaborasi jitu antara JPNS, AJC-AJC negeri dan juga Kerajaan Negeri secara keseluruhan,” katanya dalam sidang media selepas Program Tekad Pendidikan Kita Selangor 2025 di sini hari ini.

Susulan kejayaan itu, Yayasan Selangor telah dipertanggungjawabkan sebagai institusi penyelaras utama bagi semua inisiatif pendidikan di peringkat negeri.

Menurut Amirudin, keputusan itu dibuat bagi memastikan semua program yang dilaksanakan bergerak selari dan lebih sistematik.

“Tahun 2024, kita telah mengarahkan agar Yayasan Selangor menjadi focal institution yang mengurus tadbir Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Negeri.

“”Sebelum ini orang lihat Yayasan Selangor hanya mengurus biasiswa pelajar luar bandar tetapi kini peranan mereka diperluas untuk menyelaras pelbagai unit dan program pendidikan negeri dengan kekuatan kira-kira 70 staf,” ujarnya.

Namun Amirudin mengakui walaupun capaian program semakin meluas, aspek koordinasi antara agensi dan pelaksanaan di lapangan masih perlu diperkemaskan.

“Jumlah pelajar intervensi tahun ini sekitar 700 lebih, tahun depan kita akan lihat sama ada jumlah ini menurun atau sebaliknya.

“Kerjasama padu dan usaha bersepadu antara semua pihak ini diharap akan terus membawa impak positif kepada ekosistem pendidikan negeri,” katanya.

Selain PTRS dan Didik Kasih, beberapa lagi inisiatif termasuk program sekolah angkat dan jelajah mahasiswa Selangor turut dirancang sebagai pendekatan sokongan pendidikan holistik di negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast