TAN Sri Johari Abdul (duduk, tengah) bersama pemimpin Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia (PPHM) pada majlis Afternoon Tea Gathering di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Komuniti Hokkien di negara ini digesa merebut peluang daripada Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) yang akan berlangsung pada September depan, dalam memperkukuhkan lagi jaringan komuniti itu di rantau ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang juga Presiden AIPA ke-46 berkata, AIPA yang akan berlangsung pada 17 hingga 20 September itu bukan sekadar menghimpunkan wakil-wakil kerajaan dan Ahli-ahli Parlimen ASEAN.

Sebaliknya, kata beliau, sidang itu yang akan dihadiri kira-kira 1,000 delegasi ASEAN turut disertai komuniti perniagaan dan sektor korporat dalam usaha memperluaskan rangkaian perniagaan masing-masing.

“Jadi, ini adalah kesempatan buat kumpulan perniagaan di negara ini khususnya komuniti Hokkien tempatan untuk saling bertukar idea dan peluang perniagaan masing-masing.

“Peranan kumpulan Hokkien ini sepatutnya diperluas bukan hanya di Malaysia, tetapi di peringkat ASEAN juga mereka perlu memainkan peranan penting.

“Saya kira komuniti Hokkien merupakan majoriti dalam kalangan masyarakat Cina di ASEAN, jadi mereka sepatutnya memanfaatkan kelebihan itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Afternoon Tea Gathering bersama pemimpin Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia (PPHM) yang turut dihadiri Presidennya, Tan Sri Lim Hock San di sini hari ini.

Dalam pada itu, Johari berkata, AIPA juga boleh menjadi platform yang diyakini dalam memperkenalkan komuniti dan persatuan Hokkien negara ini khususnya kepada kumpulan perdagangan di rantau ASEAN.

Jelasnya, menerusi penyertaan dengan AIPA, komuniti perdagangan ASEAN dapat berkomunikasi dan menjalin kerjasama dengan komuniti Hokkien tempatan secara langsung tanpa melalui agensi kerajaan.

“Sebab kerajaan menerusi AIPA mempunyai hubungan yang baik antara kerajaan ASEAN lain, jadi ia boleh dimanfaatkan persatuan Hokkien untuk menarik pelaburan luar yang juga dapat melonjakkan ekonomi negara,” katanya.

Dalam masa sama, Johari turut menggalakkan komuniti Hokkien tempatan meningkatkan pertukaran idea dan kerjasama dengan komuniti Hokkien di China untuk manfaat yang lebih luas.

Jelasnya, komuniti Hokkien di negara ini mempunyai kelebihan memandangkan Malaysia mempunyai infrastruktur dan sokongan yang lebih baik untuk menjalankan perniagaan, sekali gus dapat menghubungkan komuniti Hokkien dari negara ASEAN lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast