KUALA LUMPUR – Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyifatkan buku terbaharu berjudul `Addeen’ karya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diterbitkan pada usia 100 tahun pemimpin berkenaan adalah sumbangan besar yang wajar dimasukkan dalam sejarah tanah air.
Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, buku itu juga hadir tepat pada waktunya di saat umat memerlukan pemersatu, bukan pemecah; petunjuk, bukan suara sumbang; dan prinsip, bukan kepentingan diri.
“Saya percaya, Addeen akan membuka ruang kepada masyarakat awam khususnya para pemimpin, ahli politik, teknokrat dan pentadbir untuk menjadikan al-Qur’an sebagai asas pemikiran dan pentadbiran.
“Saya doakan ia menjadi amal jariah yang berpanjangan buat YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Semalam, Zulkifli diberi penghormatan melancarkan buku `Addeen’ itu yang merupakan sebuah karya tadabbur ringkas terhadap ayat-ayat al-Quran oleh Dr. Mahathir yang disifatkan negarawan yang telah memimpin bangsa dan negara selama puluhan tahun.
Menurut Zulkifli, walaupun cuma catatan ringkas, Addeen bukan buku biasa sebaliknya lahir daripada jiwa seorang negarawan yang sepanjang hidupnya menyaksikan jatuh bangun tamadun dunia – termasuk perjuangan bangsa, kemerdekaan dan perkembangan Malaysia, lalu menjadikan al-Quran sebagai cermin diri dan arah panduan.
“Tun telah meminta saya menyemak kandungan Addeen tahun lalu.
“Saya boleh simpulkan empat kelebihan Adden iaitu catatan tentang kepimpinan, kewibawaan, ketekunan, dan kehambaan,” katanya.
Buku Addeen setebal 514 muka surat itu merupakan catatan peribadi Dr. Mahathir yang menghimpunkan surah-surah terpilih daripada al-Quran, lengkap dengan terjemahan, renungan, serta tadabbur beliau terhadap ayat-ayat suci tersebut.
Ia diterbitkan sebagai suatu usaha ikhlas untuk berkongsi pengalaman rohani beliau dalam memahami mesej-mesej Ilahi yang menjadi panduan sepanjang kehidupan beliau, sama ada sebagai pemimpin negara mahupun sebagai seorang Muslim yang sentiasa mencari kebenaran dan keinsafan.
Buku itu dijual pada harga RM100 dan boleh didapati di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. – MalaysiaGazette
















