JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kosmetik dalam talian tertekan dan malu selepas akaun Facebook miliknya ‘diserang’ dengan satu hantaran mendakwa kononnya mempunyai abang yang berhutang dengan ah long.
Mangsa, Goh Jia Hui, 35, berkata, akibat perbuatan tersebut perniagaan dan imejnya terjejas teruk sedangkan dakwaan itu tidak benar sama sekali.
“Saya tidak memiliki abang dan hanya mempunyai tiga adik lelaki. Saya terkejut apabila seorang pengguna media sosial dipercayai mempunyai kaitan dengan Ah long memuat naik hantaran mengenai seorang lelaki yang dikatakan abang saya.
“Pengguna media sosial tersebut meminta saya untuk menjelaskan hutang lelaki ‘abang’ saya. Saya sudah menjalankan perniagaan dalam talian lebih 10 tahun. Apabila timbul masalah begini, imej saya rosak. Perniagaan saya terjejas.
“Ramai pembeli tanya betulkah ‘abang’ saya berhutang dengan ah long. Saya tidak kenal lelaki dalam gambar yang muat naik dalam Facebook saya itu. Pihak yang memuat naik hantaran itu mendakwa itu abang kandung saya kerana nama keluarga kami sama.
“Saya harap mereka tidak ganggu saya lagi,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor di sini, hari ini.
Jia Hui berkata, ketika hantaran itu dimuat naik pada 11 Jun lalu, dia berada di Korea atas tujuan perniagaannya.
“Saya terpaksa lupakan soal perniagaan saya dan terus kembali ke Malaysia. Ia sedikit sebanyak mengganggu dan saya agak tertekan.
“Saya juga bimbang jika mereka akan ganggu ibu saya yang sudah berusia dan anak saya yang masih muda,” katanya.
Selain laporan polis, Jia Hui turut membuat aduan kepada Biro Aduan Awam Bersatu Johor.
Ketua Biro Aduan Awam Bersatu Johor, Lim Thow Siang berkata, masalah dihadapi Jia Hui ini dilihat antara taktik terbaharu dilakukan ‘scammer’ dalam mencari mangsa.
“Mungkin mereka cuba sahaja ‘attack’ mana-mana pemilik akaun, jika ada yang takut mungkin akan beri mereka duit,” dakwanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis wanita berkenaan.
Katanya, kes telah diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut.- MalaysiaGazette















