Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bekas pelakon dan model, Persana Avril Sollunda, 43, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik hantaran gambar sijil perkahwinan palsu membabitkan Tengku Mahkota Johor melalui akaun TikTok pada 25 Februari lalu.

Persana telah membuat pengakuan berkenaan dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar telah memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar yang bersifat palsu melalui video yang dimuat naik ke akaun TikTok ‘king.charles.ratu’.

Video tersebut telah memaparkan gambar sijil pernikahan palsu yang mendakwa perkahwinan di antara Tengku Mahkota Johor dan seorang wanita bergelar ‘Crown Princess Ratu Shana’.

Bekas peserta Dewi Remaja itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Di mana jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman ketika prosiding mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi wanita itu.

Bagaimanapun, Norma membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Persana yang hadir tanpa peguam memaklumkan bahawa dia memerlukan kehadiran pegawai serta pengiringnya dari Sabah bagi proses jaminan.

Mahkamah telah menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast