KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan berkait isu Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia hari ini disifatkan mencabar kedaulatan institusi fatwa dan autoriti mufti yang sekian lama diiktiraf sebagai badan autoritatif dalam urusan hukum syarak di Malaysia.
Selain itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keputusan tersebut juga mengurangkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, apabila keputusan agama boleh dibatalkan atas alasan pentadbiran semata-mata tanpa mengambil kira prinsip fikah dan maslahat umat.
Dalam masa sama, tambah beliau, keputusan itu juga memberi ruang kepada golongan liberal, sekular dan Islamofobia untuk terus mempersoalkan fatwa-fatwa lain yang telah diwartakan.
Situasi itu, ujarnya, sekali gus membuka jalan kepada normalisasi pemikiran songsang dan melemahkan kerangka perlindungan akidah umat Islam.
“(Selain itu), keputusan tersebut juga melemahkan peranan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam negeri yang sepatutnya menjadi pelindung kepada institusi-institusi syariah termasuk fatwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azmi, MAPIM berpendirian fatwa yang diwartakan oleh pihak berautoriti negeri adalah sebahagian daripada pelaksanaan Islam sebagai agama Persekutuan dan mesti dihormati serta tidak diganggu oleh tangan-tangan di luar bidang.
Sehubungan itu, katanya, penghakiman Mahkamah Persekutuan mesti dinilai semula secara menyeluruh oleh Majlis Raja-Raja dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan supya kedudukan fatwa tidak menjadi mangsa kepada manipulasi teknikal dan undang-undang sivil semata-mata.
Tegas beliau, perlu ada pindaan kepada undang-undang berkaitan fatwa dan pentadbiran agama Islam supaya lebih kukuh daripada cabaran-cabaran yang datang dari ideologi liberal dan tuntutan hak asasi yang bertentangan dengan syarak.
“MAPIM menyeru seluruh umat Islam di Malaysia bersatu mempertahankan kewibawaan fatwa dan tidak membiarkan keputusan ini menjadi preseden (duluan) yang merosakkan institusi agama.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk mencabar akidah dan hukum Islam,” katanya.
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan sebahagian rayuan SIS Forum (Malaysia) berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan bahawa mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta membenarkan rayuan perayu setakat mana ia berkaitan dengan pemakaian fatwa kepada pertubuhan dan institusi.
Dalam keputusan majoriti 3-1, Tengku Maimun menyatakan bahawa keputusan itu hanya terpakai setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan. – MalaysiaGazette
















