KUALA LUMPUR – Seramai 500 pesakit dialisis dalam kalangan asnaf di Wilayah Persekutuan menerima bantuan kewangan berjumlah RM150,000 daripada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi menampung kos pengangkutan ke pusat rawatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan itu disalurkan melalui dana zakat dua pemegang wakalah iaitu Bursa Malaysia dan Grab Malaysia yang masing-masing menyumbang sebanyak RM100,000 dan RM50,000.
Dana tersebut kemudiannya diserahkan kepada Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), anak syarikat MAIWP yang mengendalikan lima pusat hemodialisis yang menempatkan lebih 500 pesakit asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan.
“Isu utama yang dihadapi oleh pesakit-pesakit ini ialah kos pengangkutan untuk berulang alik dari rumah ke pusat hemodialisis.
“Ramai dalam kalangan mereka tidak mampu menanggung perbelanjaan ini secara berterusan.
“Dengan adanya kerjasama strategik antara PPZ-MAIWP, Bursa Malaysia dan Grab Malaysia, isu ini dapat diselesaikan. UCMI akan menyelaraskan penggunaan dana ini bagi menampung kos pengangkutan para pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP Kasih Medik: Sumbangan Kewangan bagi Pengangkutan Pesakit Dialisis di UCMI, Batu Muda, di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif ini juga akan dilaksanakan secara berterusan dan menjadi antara langkah utama PPZ-MAIWP bagi memastikan kebajikan asnaf terus terpelihara.
“Walaupun jumlah sumbangan ini tidak terlalu besar, saya harap ia dapat meringankan beban pesakit agar mereka boleh memberi tumpuan kepada rawatan sepenuhnya.
“PPZ-MAIWP sebelum ini telah menyediakan van pengangkutan sebelum ini namun jumlahnya tidak mencukupi memandangkan pesakit yang terlibat sangat ramai.
“Namun dengan sumbangan RM150,000 ini, saya yakin isu berkaitan kos penghantaran tidak akan timbul lagi, dan program ini akan terus berjalan dengan lebih tersusun,” tambahnya.
Setiap penerima turut menerima baucar Grab bernilai RM300 untuk perjalanan pergi dan balik ke pusat rawatan secara lebih terancang, selamat dan efisien.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menyatakan hasrat untuk meluaskan lagi inisiatif wakalah zakat ini ke sektor pendidikan dalam masa terdekat.
Katanya, tumpuan akan diberikan kepada pelajar-pelajar asnaf yang berpotensi tinggi untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ini termasuk sarjana dan kedoktoran, melalui sumbangan syarikat-syarikat korporat yang menyalurkan zakat kepada MAIWP.
“Anak-anak asnaf ini berada dalam senarai MAIWP sama ada di Kolej MAIWP, KPBKL mahupun di universiti awam dan swasta.
“Dengan sokongan syarikat korporat melalui wakalah zakat, kita boleh bantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendidikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette















