KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) melahirkan rasa kecewa dengan hasrat pihak pendakwaan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan bekas Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam.
Ketua Penerangannya, Leben Siddarth berkata, keputusan itu sekali gus menandakan kerajaan hari ini memilih untuk meneruskan pendakwaan terhadap seorang tokoh muda yang konsisten menentang rasuah dan memperjuangkan reformasi institusi.
Sedangkan, ujar beliau, keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan semalam membuktikan bahawa berlaku miscarriage of justice yang serius dalam proses perbicaraan terdahulu.
“Cukuplah dengan alasan kononnya ini adalah pendakwaan zaman pentadbiran dahulu.
“Hari ini, kerajaan MADANI telah memegang kuasa hampir dua tahun.
“Peguam Negara berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“SPRM pula kekal tanpa reformasi, dan Ketua Pesuruhjayanya masih tidak dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Leben, lebih mengecewakan, kenyataan hasrat untuk merayu itu dilaporkan oleh media kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terlebih dahulu, bukannya kepada mahkamah atau peguam bela.
Keadaan itu, katanya, menimbulkan persoalan besar terhadap kebebasan dan pemisahan kuasa antara institusi pendakwaan dan agensi penyiasat.
“Sebagai parti politik yang konsisten memperjuangkan #UndurAzamBaki, mendesak pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta mendedahkan skandal integriti institusi Malaysia tidak hairan sekiranya rayuan ini adalah bentuk tekanan politik terhadap gerakan gelombang reformasi yang benar.
“MUDA ingin nyatakan dengan tegas bahawa MUDA tidak akan berundur.
“MUDA akan terus mara, dan MUDA tidak akan tunduk kepada pendakwaan terpilih atau intimidasi politik,” katanya.
Mahkamah Rayuan semalam melepas dan membebaskan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan dana Armada.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan wakil rakyat itu.
Susulan keputusan itu, Azam berkata, pihak pendakwaan akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette
















