KUALA LUMPUR – Seorang tekong warga Thailand dilaporkan hilang selepas bot miliknya karam dalam kejadian ribut di perairan kira-kira 33 batu nautika dari Kuala Kemaman, Terengganu malam tadi.
Mangsa, Wongnguan Supot, 53, dipercayai sempat menghubungi sebuah bot berhampiran untuk memaklumkan bahawa botnya telah bersauh.
Namun botnya itu telah mengalami kebocoran dan dimasuki air selepas dilambung ombak kuat sekitar pukul 10 malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) sebaik menerima maklumat kejadian tersebut pada awal pagi tadi.
“Bot PERKASA 49 telah diarahkan ke lokasi pada pukul 9.20 pagi bagi melaksanakan pencarian namun apabila tiba di lokasi, bot mangsa didapati telah tenggelam dan mangsa tidak dijumpai di sekitar kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihaknya juga telah mengaktifkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Pejabat Zon Maritim Kemaman bagi menyelaras operasi mencari mangsa melibatkan pelbagai agensi keselamatan.
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan ketika berada di laut terutama ketika cuaca tidak menentu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan kecemasan boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kemaman di talian 011-1339 0521 bagi tindakan segera. – MalaysiaGazette















