PONTIAN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor perlu mengenal pasti punca utama masalah 44 projek sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang masih tertangguh.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan mahu masalah berkenaan segera diselesaikan kerana difahamkan sudah tertangguh begitu lama.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, projek berkenaan melibatkan banyak skop antaranya pembinaan sekolah baharu dan baik pulih sekolah daif.
Jelasnya, beberapa masalah dapat dikenal pasti seperti melibatkan proses pengambilan balik Ttanah (PBT) dan pemindahan utiliti.
“Kita mahu mengatasi masalah lain yang menjadi punca mengganggu proses pelaksanaan projek-projek ini. JPN dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu segera mengadakan perbincangan atau mesyuarat bagi mengenal pasti masalah projek-projek yang tertangguh itu.
“JKR adalah agensi pelaksananya kerana mempunyai kepakaran teknikal yang mencukupi bagi pembinaan bangunan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan projek pembinaan bangunan gantian kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Patah di sini hari ini.
Projek gantian kantin bernilai RM1.5 juta itu mula dibina pada Julai 2023 dan siap Februari lalu bagi menggantikan bangunan kantin lama yang berusia lebih 40 tahun.
Sebelum itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membangkitkan isu 222 projek tertangguh di Johor bermula pada 2016 hingga 2024 dengan nilai keseluruhan RM10 billion.
Onn Hafiz dilaporkan berkata, isu kelewatan projek-projek berkenaan yang kini masih berada diperingkat pra pelaksanaan menyebabkan rakyat menerima kesannya.
Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, sebanyak 44 projek sekolah tersebut adalah 222 projek yang masih tertangguh di negeri ini.
Beliau berkata, selain projek sekolah terdapat pelbagai lagi projek pembangunan seperti jambatan, klinik kesihatan, hospital, balai polis dan sebagainya yang tertangguh.
“Saya harap ketua-ketua jabatan yang terlibat segera mengenal pasti projek-projek bawah seliaan mereka supaya dapat dilaksanakan mengikut tempoh waktu ditetapkan,” ujarnya.
Tambahnya, jika semakin lama projek tertangguh, kos pelaksanaannya akan meningkat dan menyebabkan kerajaan menambah peruntukkan bagi menyiapkannya.- MalaysiaGazette















