“Perdana Menteri seolah-olah hilang kawalan apabila secara sinis melabel pengkritik isu DNAA (dilepas tanpa dibebaskan), kononnya beliau perlu menjadi diktator untuk mengawal hakim-hakim.
“Tidak kurang juga Timbalan Perdana Menteri yang meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah yang ditahan baru-baru ini untuk membersihkan nama di mahkamah seperti beliau suatu ketika dahulu dalam kes 47 pertuduhan yang akhirnya diberi DNAA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, masalah sebenar tidak terletak pada institusi kehakiman mahupun para hakim, sebaliknya pada struktur Pejabat Peguam Negara yang kini berperanan sebagai peguam kepada kerajaan dan eksekutif.
“Kini, jawatan Peguam Negara berada di bawah kawalan eksekutif kerana pelantikannya dinasihati oleh pihak kerajaan, sekali gus menimbulkan konflik kepentingan dalam isu pertuduhan.
“Oleh itu, kami menggesa penubuhan segera sebuah badan pendakwaan yang bebas dan eksklusif di bawah seliaan Dewan Rakyat.
“Ia mesti dibiayai oleh dana awam, mempunyai struktur pentadbiran sendiri serta bebas daripada campur tangan eksekutif,” tambahnya.
Beliau mencadangkan agar jawatan Ketua badan ini dinamakan sebagai Peguam Negara yang hanya bertanggungjawab dalam hal pendakwaan dan pertuduhan, serta perlu melapor terus kepada Parlimen, bukan kepada Perdana Menteri.
Sementara itu, peranan sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan dan Kabinet pula dicadangkan diberikan kepada Peguamcara Negara (Solicitor General).
“Pelantikan timbalan-timbalan pendakwa raya juga perlu dilakukan secara telus dengan struktur gaji yang setimpal, peluang kenaikan pangkat berdasarkan merit dan prestasi kerja.
“Badan ini mesti diaudit dan laporan tahunannya dibentangkan di Dewan Rakyat, malah perlu diberikan peruntukan khusus dalam belanjawan negara,” katanya.
Rafique menegaskan bahawa reformasi terhadap struktur pendakwaan negara adalah perkara yang telah lama dibincangkan dan perlu dilaksanakan segera demi memulihkan kepercayaan rakyat.
“Hendak seribu daya. Lagipun kerajaan kini memiliki majoriti dua pertiga. Jika tidak, rakyat akan terus dimomokkan dengan maklumat yang salah daripada eksekutif yang berkuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette