KUALA LUMPUR – Tindakan menghalau seorang jemaah daripada menggunakan fasiliti Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu bukan hasil persetujuan pentadbir serta ahli jawatankuasa (AJK) surau berkenaan.
Sebaliknya, AJK Musolla Halaman 11 berkata, pihaknya mengharapkan kehadiran sesiapa sahaja bagi mengimarahkan surau itu, dan berasa kesal serta membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut.
Tambahnya, susulan kejadian itu juga, AJK surau berkenaan sudah berjumpa dengan pihak pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) kawasan perumahah tersebut bagi menyelesaikan kekeliruan terbabit.
“Pendirian kami jelas, musolla (surau) boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk beribadat atau berehat sebentar.
“Tindakan untuk kunci musolla sama sekali tidak akan berlaku,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Terdahulu, tular di media sosial video seorang seorang wanita menghalau seorang jemaah yang sedang beriktikaf sambil membaca al-Quran di sebuah surau sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Menerusi video itu, wanita berkenaan turut mengungkit berkenaan bayaran bil penyelenggaraan yang didakwa ditanggung oleh penduduk kawasan berkenaan.
Sementara itu, AJK Musolla Halaman 11 menambah, bil fasiliti seperti bekalan elektrik dan air adalah atas tanggungan surau berkenaan sendiri hasil dari sumbangan (infak) orang ramai.
Ujarnya, walaupun status surau itu sebagai harta bersama penduduk adalah benar, namun bagi tujuan ibadat, AJK tetap membukanya kepada semua.
“Seperti sedia maklum, bagi memasuki kawasan Halaman 11 perlu melepasi palang (untuk jemaah luar kawasan H11).
“Ada prosedur keselamatan yang perlu dibuat sebelum masuk,” katanya. – MalaysiaGazette

















AJK apa lagiiii… Buat report Polis la.. bersihkan nama AJK Surau yg tercemar ni.. Bila dh ada report Polis, baru blh dapat owner suara ni.. senang kami nak viralkan pula muka pompuan ni..