Ihsan Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

KUALA LUMPUR – “Saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti dia akan merealisasikan permainan itu dalam kehidupan sebenar”.

Demikian coretan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ketika mengenang zaman kanak-kanak putera sulungnya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut baginda, Tunku Ismail sangat meminati permainan video FIFA dan sering meminta baginda membelikan versi baharu PlayStation setiap kali ia dilancarkan.

“Antara permainan kegemarannya ialah FIFA. Saya akan tanya, Ini game apa? dan dia jawab, ‘Teak (nama timangan Tunku Ismail) perlu pilih pengurus dan pemain untuk pasukan bola sepak Teak,” titah Raja Zarith.

Baginda berkata, tidak menyangka minat Tunku Ismail terhadap permainan itu akhirnya diterjemahkan ke dunia sebenar apabila beliau kini mengurus kelab bola sepak profesional, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkongsian itu dimuat naik menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena ulang tahun kelahiran ke-41 Tunku Ismail hari ini.

Dalam catatan itu, Raja Zarith turut menyentuh detik penuh emosi sewaktu Tunku Ismail memulakan persekolahan.

“Dia tidak mahu saya meninggalkannya. Jadi saya berdiri di tingkap kelas selama mana saya dibenarkan,” titah baginda.

Baginda juga berkongsi pengalaman mencabar sebagai ibu apabila Tunku Ismail menyertai latihan ketenteraan di India.

“Tahun-tahun sebagai kadet dan pegawai tentera di India sangat sukar untuk saya dan Sultan Ibrahim. Namun kami sempat melawatnya di Akademi Tentera India di Dehradun dan bertemu keluarga yang menjaganya dengan penuh kasih sayang,” titah baginda lagi.

Tunku Ismail dilahirkan pada 1 Syawal iaitu pada pagi Hari Raya Aidilfitri ketika Sultan Ibrahim sedang menziarahi ahli keluarga.

Kelahiran itu disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh pasangan diraja tersebut.

“Sebagai ibu bapa, buat kali pertama kami menyambut kelahiran putera sulung dengan penuh kegembiraan serta bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” titah baginda.

Menutup catatan tersebut, Raja Zarith menitipkan doa sempena ulang tahun kelahiran Tunku Ismail.

“Kami berdua berdoa Allah memberkati dirinya dengan kesihatan, kebahagiaan dan kejayaan. Semoga dia dikurniakan kebijaksanaan untuk mengasihi dan menjaga rakyat Johor, ” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast