EGM Badan peguam
Badan Peguam Malaysia. foto SYAFIQ AMBAK, 14 MAC 2020 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia menyuarakan kebimbangan kerana setakat ini masih tiada pengumuman rasmi sama ada khidmat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilanjutkan enam bulan lagi meskipun beliau dijadual bersara wajib esok.

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab menyifatkan sikap berdiam diri kerajaan daripada menjelaskan kedudukan Tun Tengku Maimun dan hala tuju peralihan tampuk kepimpinan tertinggi badan kehakiman sebagai sesuatu yang  membahayakan.

Ujar beliau, perkembangan sedemikian belum pernah berlaku sebelum ini kerana dalam tempoh kurang 48 jam, masih tiada kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan.

Tengku Maimun Tuan Mat

Sehubungan itu, Badan Peguam Malaysia mahukan kerajaan segera mengumumkan tindakan sama ada melanjutkan tempoh perkhidamatan beliau atau lantikan hakim berdasarkan Perlembagaan.

“Kami bersetuju pada dasarnya bahawa kebebasan kehakiman mesti dilindungi daripada campur tangan politik dan lobi yang tidak wajar.

“Kedudukan Ketua Hakim Negara bukan simbolik, ia pusat kepada integriti, kebebasan dan fungsi keseluruhan sistem kehakiman. Ketidaktentuan jawatan Tun Tengku Maimun walhal ia begitu hampir dengan tarikh persaraan beliau, mencerminkan kegagalan dalam tanggungjawab institusi. Ini bukan kelewatan pentadbiran semata-mata.

“Ia berisiko merosakkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman dan membuka pintu kepada spekulasi dan sangkaan tidak sihat,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Tun Tengku Maimun yang merupakan wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, dijadual menamatkan perkhidmatan esok apabila mencapai usia persaraan wajib 66 tahun, Rabu ini.

Mohamad Ezri berkata, Badan Peguam Malaysia secara konsisten mengelak daripada menyokong atau menentang pelantikan atau lanjutan khidmat mana-mana hakim.

Ujarnya, peranan badan itu bukan untuk melobi, menyokong atau mempengaruhi proses pelantikan.

“Badan Peguam Malaysia menghormati `sempadan’ itu. Namun kita mesti bersuara apabila institusi yang `senyap’ seperti ini mengancam kebebasan kehakiman.

“Apa yang kita saksikan sekarang bukanlah isu melobi atau keutamaan. Ia isu yang mendesak, ketelusan dan fungsi demokrasi berperlembagaan,” ujarnya.

Menurut Mohamad Ezri, tiadanya penjelasan berhubung kedudukan Tun Tengku Maimun menyebabkan timbul spekulasi dan khabar angin yang tidak sepatutnya berlaku.

Dalam kenyataannya, Badan Peguam menyokong prinsip bahawa pelantikan kehakiman mesti kekal bebas daripada lobi atau tekanan luar.

Ujarnya, badan itu mahukan peralihan tampuk badan kehakiman akan datang, diperjelas selaras dengan niat baiknya untuk menegakkan kesinambungan institusi.

“Kebebasan kehakiman bukan sahaja ideal untuk dipuji dalam ucapan, ia mesti dilindungi melalui kelakuan manakala keputusan yang dicapai mewujudkan kepercayaan bukan syak wasangka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast