KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) digesa untuk tidak terus berdiam diri apabila ratusan rakyat menjadi mangsa penipuan pelaburan Saham Boleh Tebus Syariah (i-RPS) oleh beberapa syarikat tempatan.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, SSM mempunyai tanggungjawab dan kuasa di bawah Akta Syarikat 2016 untuk segera menyiasat tiga syarikat yang didakwa menawarkan skim i-RPS tidak berdaftar.
Untuk makluman, tiga syarikat itu didakwa menyebabkan lebih 200 pelabur mengalami kerugian lebih RM80 juta.
“Kami tidak mahu mendengar alasan bahawa isu ini hanya di bawah bidang kuasa polis. SSM juga bertanggungjawab. Dalam Akta Syarikat 2016 khususnya Seksyen 591, 213 dan 594 jelas menyebut mendorong orang ramai melabur dengan penipuan adalah kesalahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, sebelum ini, pihaknya sudah membawa lebih 200 mangsa untuk membuat laporan polis selain mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) namun tindakan daripada pihak berkuasa terutama SSM masih terlalu perlahan.
“Lebih membimbangkan, skim ini menggunakan nama syariah untuk memperdaya pelabur Melayu Islam. Mereka dijanjikan pulangan dividen tinggi, dikaburi dengan imej syarikat kononnya patuh syariah dan dipimpin tokoh-tokoh ternama,” dakwanya.
Hishamuddin mendakwa, berdasarkan maklumat diperoleh MHO, skim i-RPS itu beroperasi tanpa pendaftaran sah di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 dan Akta Syarikat 2016 dipercayai adanya unsur menipu pelabur dengan dokumen pelaburan tidak sah.
Beliau mendesak SSM mempercepatkan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan pendakwaan.
“Kita sudah lihat sebelum ini, banyak kes penipuan pelaburan ‘lesap’ begitu sahaja kerana kelewatan tindakan pihak berkuasa. SSM tidak boleh berlepas tangan.
“Lebih 200 mangsa ini datang daripada pelbagai latar belakang. Ada peniaga kecil, ada juga individu ternama. Jumlah kerugian sangat besar lebih RM80 juta dan jika dibiarkan, lebih ramai lagi rakyat akan menjadi mangsa.
“Ini bukti bagaimana penipuan terancang boleh berlaku di hadapan mata pihak berkuasa jika tindakan tidak tegas. SSM mesti buktikan mereka serius untuk membanteras skim pelaburan penipuan,” kata Hishamuddin.
Sebelum ini, media melaporkan kesemua mangsa mendakwa syarikat berkenaan gagal membayar dividen dijanjikan walaupun sebelum ini mereka dijanjikan pulangan lumayan serta diyakinkan dengan kehadiran individu terkenal yang memegang jawatan di dalam syarikat terbabit.
Beliau berkata, MHO akan terus mendesak dan memberi tekanan kepada pihak berkuasa bagi memastikan kes ini dibawa ke mahkamah dan pelaku ditangkap serta diadili mengikut undang-undang. -MalaysiaGazette
















