Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mengingatkan pemegang tauliah mengajar agama Islam agar mematuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau berdepan tindakan penggantungan dan penarikan balik tauliah.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerajaan negeri masih menerima aduan mengenai pemegang tauliah yang menyalahgunakan kedudukan mereka di masjid dan surau dengan membawa elemen-elemen yang bertentangan dengan semangat dakwah Islam yang sebenar.

“Antara aduan yang diterima termasuklah pemegang tauliah yang masih aktif memegang jawatan dalam parti politik, bersikap tidak berakhlak mulia, menyebarkan kebencian terhadap kerajaan, serta membangkitkan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, perkara tersebut jelas melanggar Peraturan 14(1) Peraturan-peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) yang menyatakan syarat kelayakan pemegang tauliah, termasuk tidak boleh memegang jawatan dalam mana-mana parti politik dan bukan merupakan Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan Negeri.

“Peraturan ini bukan sekadar formaliti, tetapi penting bagi memastikan institusi masjid kekal sebagai tempat ibadah dan perpaduan umat, bukan menjadi medan propaganda politik atau perpecahan sebagaimana yang sering ditekankan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” tegas Fahmi.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tauliah MAIS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pemegang tauliah yang didapati melanggar syarat atau etika ditetapkan.

“Sekiranya aduan yang diterima berasas dan terbukti benar, tauliah boleh digantung serta-merta dan ditarik balik. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan institusi dakwah di negeri ini bebas daripada unsur perpecahan,” jelasnya.

Fahmi turut mengingatkan para pendakwah agar terus berakhlak mulia, menjauhi politik kepartian serta menjaga kesucian ilmu yang disampaikan.

“Tauliah bukan satu keistimewaan yang boleh digunakan sesuka hati. Ia adalah amanah besar yang perlu digalas dengan integriti dan tanggungjawab. Bagi mereka yang tidak bersedia untuk memberikan komitmen ini, saya sarankan agar tidak memohon tauliah di negeri Selangor,” ujar beliau.

Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status pendakwah bertauliah melalui portal rasmi MAIS di https://etauliah.mais.gov.my dan melaporkan sebarang salah laku kepada hotline JAIS di talian 1800-88-2424. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast