Lagu Pernah Aku Punya dicipta dalam tempoh hanya dua hari ketika Shila Amzah masih dalam tempoh berpantang.

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor tanah air, Shila Amzah kini muncul dengan single terbaharu berjudul Pernah Punya Aku yang merupakan karya peribadi yang ditulis dan
digubah sepenuh oleh dirinya.

Lagu itu juga menandakan fasa kematangan Shila selepas 25 tahun bergelar anak seni,  adalah buah tangan terbaharu Shila selepas berehat panjang daripada berkarya dan hadir dengan penuh emosi serta kejujuran.

Mengimbau proses penulisannya, Shila, 34 menjelaskan lagu ini tercipta dalam tempoh hanya dua hari ketika dia masih dalam tempoh berpantang.

“Ketika itu, emosi saya tidak stabil. Suami saya menyarankan agar saya cuba luahkan apa
yang saya rasa melalui lagu dan dari situlah lahirnya Pernah Punya Aku. Ia bukan sekadar
luahan tetapi juga proses penyembuhan buat diri saya,” jelas ibu kepada dua anak itu.

Shila Amzah sudah 25 tahun bergelar anak seni.

Lagu ini dirakamkan dalam suasana yang sangat positif dan efisien dengan Genervie Kam
bertindak selaku penerbit dan penggubah muzik.

Genervie yang juga merupakan pengarah muzik wanita yang cukup disegani di Malaysia
memberikan sokongan penuh kepada Shila sepanjang proses rakaman yang hanya
mengambil masa kira-kira 40 minit sahaja untuk disiapkan.

“Saya rasa sangat selesa bekerja dengan Genervie. Beliau memahami saya sebagai seorang artis dan wanita. Proses rakaman sangat lancar dan berkesan,” kata isteri kepada pempengaruh, Ubai.

Menurut Shila, meskipun lagu ini menyentuh tema kekecewaan dan kesedihan dalam
sebuah hubungan, beliau tetap menyuntik unsur harapan dan kekuatan agar ia mampu
menjadi ruang pemulihan buat para pendengar.

“Walaupun lagu ini sedih, saya mahu pendengar tahu bahawa di balik setiap kepedihan
ada jalan keluar. Lagu ini adalah refleksi perasaan ramai wanita yang pernah ditinggalkan
atau dikhianati tetapi dalam masa yang sama saya selitkan kata-kata semangat supaya
mereka tahu mereka tidak bersendirian,” tambahnya.

Album penuh terbaru Shila Amzah akan dikeluarkan hujung tahun ini.

Berkaitan rapat dengan mesej dalam lagu ini, Shila memilih untuk memperdengarkan lagu tersebut terlebih dahulu kepada ibunya.

“Lagu ini saya tujukan kepada seorang wanita yang dicurangi dan ditinggalkan. Saya mahu ibu saya mendengarnya dahulu kerana dia lebih dekat dengan sudut pandang itu.

“Alhamdulillah, menurutnya, lagu ini sangat menyentuh dan menggambarkan apa yang
pernah beliau rasa,” katanya.

Pernah Punya Aku merupakan single pertama daripada album penuh terbaru Shila yang
akan dikeluarkan hujung tahun ini.

Ia menjadi satu cara bagi beliau untuk melepaskan kisah yang terpendam dan membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu, wanita dan anak seni.

Kredibiliti Shila Amzah sebagai seorang komposer terus diiktiraf apabila dia dipilih
menjadi salah seorang komposer sebaris Ajai, Ikhwan Fatanna dan Audi Mok dalam
program realiti nyanyian digital terbaharu, Raise The Star Malaysia yang kini bersiaran di
Astro Ria.

Single Pernah Punya Aku terbitan Nova Music boleh mula distrim di semua pelantar
penstriman muzik dan siaran perdana muzik video rasmi lagu tersebut
berlangsung di saluran YouTube Nova Music Videos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast