Logo FGV

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd memperoleh kelulusan pemegang saham untuk membeli baki kepentingan ekuiti dalam lapan anak syarikat daripada Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF) pada harga RM229.8 juta untuk mengukuhkan struktur korporatnya.

Kelulusan itu diperoleh semasa mesyuarat agung luar biasa syarikat pada 26 Jun, selepas mesyuarat agung tahunan ke-17 pada hari yang sama.

FGV menerusi satu kenyataan hari ini berkata, FGV Palm Industries Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsungnya yang dimiliki 72 peratus, akan mengambil alih baki pegangan dalam tiga anak syarikat daripada KPF pada harga RM54.7 juta, manakala FELDA Holdings Bhd, anak syarikat milik penuh, akan membeli baki kepentingan dalam lima anak syarikat pada harga RM175.1 juta.

“Langkah strategik ini bertujuan untuk mengukuhkan struktur korporat FGV, memudahkan untuk membuat keputusan, dan memastikan penyelarasan yang lebih baik dalam keutamaan strategik kumpulan.

“Dengan pemilikan penuh, FGV akan mempunyai lebih keupayaan untuk memacu prestasi dan mempercepat pelaksanaan merentas perniagaan teras,” katanya.

Sementara itu, FGV mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 14 peratus kepada RM22.16 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM276 juta, disokong oleh kecekapan operasi dan margin yang bertambah baik.

Pengerusinya Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, FGV mencatatkan kemajuan operasi yang kukuh pada 2024.

“Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan cabaran alam sekitar, FGV kekal kukuh, berdaya tahan dan lebih fokus, menukar cabaran kepada peluang,” katanya menerusi kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Fakhrunniam Othman berkata pada kumpulan itu akan terus mengambil pendekatan berhati-hati ketika ia mengharungi landskap global yang tidak menentu ketika ini yang disebabkan oleh ketegangan perdagangan dan turun naik pasaran.

“Kami menumpukan fokus kami kepada kecemerlangan operasi, kerjasama dengan pemegang taruh, produk bernilai tinggi dan teknologi canggih untuk memastikan FGV kekal berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast