Armin Baniaz Pahamin Foto: Facebook

KUALA LUMPUR – Pendidikan seksual bersepadu yang berlandaskan agama dan budaya wajar dijadikan subjek wajib di peringkat sekolah menengah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Presiden Gerakan Ekonomis Malaysia, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, pendekatan itu antara langkah dalam menangani kes peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan generasi muda khususnya penuntut IPT ketika ini.

Selain itu, menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga harus berganding bahu dalam melaksanakan program saringan HIV berkala, kaunseling dan pendidikan pencegahan di semua IPT.

Dalam masa sama, ujar beliau, kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan terhadap gejala seks bebas, aktiviti tidak bermoral serta penjualan kondom dan ubat perangsang secara terbuka.

“Kita juga mencadangkan supaya ditubuhkan pusat intervensi dan kaunseling di setiap universiti dan kolej selain komuniti ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dimobilasi dalam memperkukuh sistem sokongan terhadap pelajar yang berisiko,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni baru-baru ini, yang mana seramai 222 pelajar IPT dikesan menghidap jangkitan HIV pada usia seawal 18 hingga 19 tahun pada tahun lepas.

Menurut Lukanisman, secara keseluruhan pula, sebanyak 1,091 jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024.

Menurut Armin Baniaz, statistik jangkitan HIV dalam kalangan IPT seperti didedahkan KKM adalah sesuatu yang membimbangkan dan wajar dijadikan amaran nasional terhadap situasi kesihatan awam serta keruntuhan nilai moral dalam kalangan generasi muda.

Katanya, fenomena itu bukan sekadar masalah perubatan, tetapi turut mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dan institusi sosial dalam menyampaikan pendidikan kesihatan seksual yang berkesan serta nilai-nilai akhlak yang mendalam.

“Golongan pelajar seharusnya menjadi tonggak masa depan negara, bukan terjerumus ke dalam kancah risiko jangkitan penyakit berbahaya seperti HIV dan AIDS,” katanya.

Tambah beliau, isu itu bukan semata-mata soal kesihatan, tetapi merupakan krisis kepimpinan sosial dan nilai yang memerlukan tindakan holistik dan tegas oleh semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, keluarga, dan masyarakat.

“Kehilangan generasi muda kepada krisis seperti HIV bukan sahaja merugikan negara dari segi modal insan, tetapi turut mencerminkan kelemahan dasar dan pelaksanaan sistem sokongan sosial.

“Kita perlu segera bertindak sebelum kerosakan menjadi tidak terkawal,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast