Tan Sri Abdul Rashid Hussain

KUALA LUMPUR – Pelantikan tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-10 disifatkan satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh reputasi, integriti dan keberkesanan institusi Islam.

Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr. Razli Ramli berkata, pelantikan Abdul Rashid yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji itu selari dengan hasrat supaya institusi Islam di negara ini menjadi contoh kepada dunia, bukan bukan hanya dari segi penampilan, tetapi dari sudut tadbir urus, pencapaian dan nilai yang dibawa.

Menurut beliau, seperti Lembaga Tabung Haji, UIAM juga memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja memahami prinsip Islam, tetapi juga mempunyai kebolehan mentadbir yang kukuh, pengalaman luas dalam dunia industri, serta rekod integriti yang bersih.

Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr. Razli Ramli.

Dalam masa sama, katanya, Abdul Rashid juga bukan calang-calang individu, sebaliknya mempunyai latar belakang korporat dan kewangan yang sangat kukuh, termasuk pernah menerajui RHB Group, salah satu institusi kewangan terbesar di negara ini.

“Tadbir urus yang mantap adalah aspek paling kritikal bagi institusi-institusi Islam, terutamanya apabila ia melibatkan amanah umat seperti dana haji atau institusi pendidikan Islam.

“Risiko terlalu tinggi sekiranya institusi sebegini diterajui oleh individu yang kurang kompetensi atau pengalaman hanya semata-mata atas dasar penampilan “Islamik”,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas mengenai pelantikan Abdul Rashid sebagai Presiden UIAM ke-10 bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa kelmarin hingga 30 Jun 2028, bagi menggantikan Tan Sri Samsudin Osman.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan berkata, pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Sementara itu, Razli berkata, adalah tidak adil untuk menilai seseorang hanya berdasarkan sejarah masa lampau, seperti keterlibatan dengan sistem perbankan konvensional yang berunsur riba.

Sedangkan, hari ini, ujarnya, Abdul Rashid telah membuktikan komitmen kepada nilai-nilai Islam dalam kepimpinan beliau.

“Ini termasuk pelibatan aktif dalam agenda pendidikan Islam, pelaksanaan program sosial berteraskan maqasid syariah, serta pendekatan pengurusan yang telus dan beretika,” katanya.

Dalam masa sama, tambahnya, adalah penting untuk tidak menyempitkan definisi ‘Islamik’ hanya kepada simbol atau latar belakang semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, kepimpinan Islamik sebenar juga harus dilihat dari aspek kebolehan mentadbir, menyantuni amanah dengan adil dan cemerlang, serta memberi impak positif kepada masyarakat umum.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak bahawa satu hari nanti, akan muncul generasi muda yang lebih inovatif, lebih dekat dengan masyarakat, dan mempunyai ciri-ciri Islamik kuat yang boleh memimpin institusi berkaitan Islam.

“Tetapi buat masa ini, kestabilan dan kekuatan institusi-institusi utama Islam di Malaysia masih memerlukan individu seperti Abdul Rashid, yang boleh menjadi jambatan antara profesionalisme, pengalaman dan nilai-nilai Islam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast