PUTRAJAYA – Isu waktu menunggu lama khususnya yang melebihi enam jam bagi pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan, akan diselesaikan dan diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu sedang dalam penelitian akhir melalui sesi libat urus kementerian dan agensi berkaitan.
Sehubungan itu, beliau memohon diberi ruang untuk meneliti perkara tersebut kerana ia bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya sudah ditangani sejak tahun lalu melalui langkah-langkah yang telah dilaksanakan.
“Perkara ini telah ditekankan setiap kali sidang media diadakan. Saya tidak mahu mengulang-ulang kerana tindakan lanjut sedang dalam progres.
“Isu waktu menunggu lama ini sebenarnya sudah ditangani sejak tahun lalu termasuk dalam tempoh saya menerajui kementerian,” ujarnya.
Dzulkefly turut ditanya sama ada isu waktu menunggu lama di hospital kerajaan itu berpunca daripada kekurangan tenaga kerja perubatan termasuk doktor dan jururawat yang memilih berkhidmat di hospital swasta.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu kerana sudah menjelaskannya beberapa kali.
“Saya tidak mahu komen. Tunggu sehingga kementerian buat penjelasan dan langkah-langkah penyelesaian. Saya harap rakan-rakan media tolong bersabar sedikit,” ujarnya.
Dzulkefly menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Makanan Selamat (eMAS) sempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Program tiga hari hingga esok diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Keselamatan Makanan Malaysia (MAFSA) yang merupakan inisiatif penting untuk memperkasa industri makanan selamat negara. – MalaysiaGazette
















