KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd (Proton) menyasarkan untuk menjual lebih 2,000 unit model X50 baharu setiap bulan, selepas diperkenalkan secara prapelancaran semalam.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang, berkata model X50 yang ditambah baik dari segi reka bentuk dan teknologi dijangka terus kekal sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B paling laris di pasaran Malaysia.
“Kami menyasarkan angka jualan Proton X50 baharu ini sekurang-kurangnya melebihi 2,000 unit sebulan,” katanya pada majlis prapelancaran model itu di Setia City Mall, di sini.
Beliau berkata, tempahan untuk X50 baharu telah dibuka hari ini dengan sasaran awal sebanyak 10,000 unit sebelum pelancarannya yang dijadual berlangsung dalam bulan ini.
Model baharu itu tampil dengan reka bentuk lebih menyerlah serta dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang dipertingkat, termasuk fungsi pengecaman suara pertama di dunia dalam Bahasa Melayu bagi menawarkan pengalaman pemanduan tempatan yang unik.
SUV segmen-B ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Executive, Premium dan Flagship, dengan pelbagai ciri tambahan bernilai lebih RM10,000.
Sejak pertama kali diperkenalkan pada 2020, Proton X50 telah menetapkan penanda aras baharu dalam segmen SUV negara apabila mencatatkan jualan lebih 140,000 unit sekaligus menjadikannya SUV segmen-B paling laris selama lima tahun berturut-turut.
Model ini dijangka terus menerima sambutan menggalakkan dengan pembaharuan yang dilakukan bagi menepati citarasa dan keperluan pengguna masa kini. – BERNAMA
















