Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memilih untuk kembali kepada perjuangan akar umbi apabila mengumumkan pelancaran platform Ayuh Malaysia, satu inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan jaringan perusahaan sosial di seluruh negara.

Langkah itu diambil selepas  berundur daripada arena politik dan tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam parti mahupun kerajaan.

Rafizi dalam kenyataan hari ini berkata, perubahan sebenar dalam masyarakat tidak hanya boleh dicapai melalui politik, sebaliknya perlu digerakkan dari bawah agar nilai ketelusan, kebertanggungjawaban dan meritokrasi dapat dibudayakan dalam kehidupan rakyat.

“Saya tidak bermula sebagai seorang politik. Saya bermula sebagai seorang aktivis yang ada kesedaran politik, bahawa Malaysia perlu berubah kepada sistem yang lebih telus, membudayakan keamanahan (accountability), merancakkan persaingan dan mengangkat merit dalam masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, platform Ayuh Malaysia ini akan menjadi pusat sehenti yang menyusun dan menyokong usaha menubuhkan perusahaan sosial yang digerakkan rakyat.

Menurutnya, perusahaan sosial bukan sekadar perniagaan, sebaliknya entiti yang berfungsi membantu masyarakat dan keuntungannya dikembalikan kepada rakyat.

Antara fungsi utama platform itu ialah menubuhkan pelbagai perusahaan sosial; menyediakan kepakaran dan bimbingan melalui rangkaian aktivis; menyusun sumber kewangan secara telus; dan menghubungkan perusahaan sosial dengan kumpulan penerima manfaat.

Pelancaran rasmi Ayuh Malaysia akan berlangsung pada 27 Julai ini, dengan pembentangan terperinci rancangan pembangunan sektor tersebut.

“Ini merupakan perusahaan sosial sebagai ‘sektor ketiga’ yang mampu mengisi jurang antara perniagaan bermotif keuntungan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergantung kepada dana luar.

“Kehadiran jaringan perusahaan sosial yang kukuh dalam masyarakat dapat menjamin kelangsungan kebajikan ekonomi dan sosial rakyat dalam keadaan pertembungan politik akan terus berlaku di dalam masyarakat,” tambahnya.

Beliau turut mengajak orang ramai, terutamanya golongan aktivis dan masyarakat sivil, untuk menyertai usaha membina kekuatan baharu rakyat melalui inisiatif ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast