Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Sehingga kini masih ada kontraktor kebersihan sekolah di beberapa negeri masih belum dibayar untuk kerja-kerja mereka tahun lepas.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, negeri berkenaan adalah Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Saya dimaklumkan ini adalah disebabkan oleh Arahan Perbendaharaan (AP58) yang dikeluarkan pada penghujung tahun 2024.

“Walaupun pada hujung setiap tahun memang menjadi kebiasaan untuk bayaran tertangguh beberapa bulan akibat AP58, di bawah kerajaan ini tempoh penangguhan adalah amat lama dan tidak munasabah.

“Saya turut dimaklumkan bahawa bayaran untuk pelarasan gaji minima yang telah dinaikkan juga masih ada yang belum dilunaskan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Wan Saiful berkata, akibatnya usahawan-usahawan yang majoritinya bumiputera sekali lagi terpaksa menanggung kos tambahan akibat kegagalan kerajaan menunaikan tanggungjawab.

“Adakah kerajaan sedar bahawa kelewatan yang tidak munasabah ini boleh menjejaskan kelestarian operasi usahawan-usahawan tersebut?

“Seterusnya ini memberi kesan kepada ribuan pekerja yang bertugas di bawah kontrak-kontrak yang terbabit,” katanya lagi.

Akibatnya, ada usahawan yang terpaksa berhutang atau mengambil factoring untuk menampung kegagalan kerajaan membuat bayaran.

“Mereka terpaksa menanggung kos tambahan faedah atau interest atas hutang itu, yang sebenarnya tidak perlu sekiranya kerajaan ini lebih cekap,” ujarnya.

Belau mendakwa pemimpin kerajaan hari ini kelihatan terpisah jauh dari realiti hidup rakyat.

“Mereka bongkak menayangkan gambar berjoging di lokasi-lokasi mewah di luar negara tetapi rakyat dibiarkan susah dan mereka yang berniaga pula tidak dibayar untuk kerja yang telah selesai,” katanya.

“Saya telah mengangkat isu ini sejak tahun 2023. Sudah lebih dua tahun tapi malangnya kerajaan terus gagal menyelesaikannya.

“Nampaknya kerajaan ini bukan sahaja tidak cekap tetapi juga tidak prihatin terhadap beban yang ditanggung mereka yang berkhidmat menjalankan kontrak kerajaan,” katanya.

Justeru Wan Saiful menggesa Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan segera menyelesaikan bayaran-bayaran tertunggak.

“Saya juga menggesa Ketua Audit Negara mengaudit kelemahan yang amat ketara dalam hal ini,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast