Steven Sim (tengah) menyaksikan majikan sebuah syarikat menyampaikan surat tawaran kerja kepada seorang prospek di Kompleks Penjara Seberang Perai di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Seramai 4,105 individu yang selesai menjalani hukuman dan berjaya dipulihkan sejak 2020 hingga semalam, kini kembali ke alam pekerjaan, hasil inisiatif padanan kerjaya yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha itu membuktikan potensi golongan rentan termasuk prospek sebagai penyumbang produktiviti dan tenaga kerja kepada negara.

“Daripada jumlah itu, lima sektor utama yang mencatat pengambilan tertinggi ialah pembuatan, pembinaan, pertanian, perkhidmatan makanan serta perdagangan borong dan runcit.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, terdapat 16.78 juta tenaga kerja aktif di negara ini, dengan 2.3 juta atau 13.7 peratus daripadanya merupakan pekerja asing.

“Sudah tiba masanya kita manfaatkan sepenuhnya potensi pekerja tempatan termasuk prospek kerana mereka mungkin pernah tersilap, tetapi peluang kedua ini dapat membuka ruang untuk mereka menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

Steven Sim.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs anjuran Perkeso di Kompleks Penjara Seberang Perai di sini, hari ini.

Hadir sama Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Steven turut memaklumkan, seramai 600 prospek telah mendaftar menyertai karnival dua hari itu, dengan lebih 1,000 kekosongan jawatan ditawarkan oleh 20 majikan.

“Menerusi usaha berterusan program Daya Kerjaya yang sejak 2020 telah membantu 2,604 prospek mendapatkan kerja melibatkan 549 majikan.

“Selain itu, Program Daya Kerjaya turut menawarkan insentif RM600 sebulan selama tiga bulan kepada majikan yang mengambil bekas banduan bekerja, dengan jumlah keseluruhan dana melebihi RM12 juta setakat ini,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi tahun 2025, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta bagi memperkasa penempatan pekerjaan kepada golongan rentan.

“Malah, melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama enam persatuan utama termasuk FMM, FMBA, MRA, MyBHA, FMCCAM dan Balai Ikhtisas Malaysia, sebanyak 4,500 peluang pekerjaan lagi bakal diwujudkan khusus buat prospek,” katanya.

Untuk rekod, karnival ini merupakan edisi berskala besar kedua selepas penganjuran sulung di Penjara Kajang tahun lalu yang melibatkan 350 penghuni penjara dari Zon Tengah.

Bagi tahun ini, karnival diperluas ke Zon Utara dengan penglibatan 600 prospek, terdiri daripada 550 lelaki dan 50 wanita dari 10 institusi penjara dan pusat koreksional. – MalaysaiGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast