BUKIT MERTAJAM – Seorang bapa kepada tiga cahaya mata merayu sumbangan orang ramai berjumlah RM70,000 untuk menjalani pembedahan jantung dengan segera.
Azahar Md Yusoff, 52, berkata, pembedahan itu penting dalam usaha menyelamatkan nyawanya disahkan menghidap penyakit arteri koronari (CAD).
Lelaki yang berasal dari Permatang Pauh berkata, masalah itu dikesan pada Mac lalu apabila secara tiba-tiba dia mengalami lemah badan, demam dan sesak nafas sebelum dihantar ke hospital kerajaan.
“Disebabkan keadaan saya semakin teruk, keluarga membawa ke hospital swasta dan doktor mengesan saluran darah jantung tersumbat di lapan bahagian.
“Saya kemudian kembali dirujuk ke hospital kerajaan dan bergantung ubat pelega sementara menunggu giliran rawatan yang tidak dapat pasti bila.
“Doktor mengesyorkan pembedahan perlu dibuat segera, tetapi saya tidak berkemampuan,” katanya.
Azahar yang bekerja sebagai penyelia bahagian pengeluaran di sebuah kilang elektronik di negeri ini berkata, masalah kesihatan tersebut menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti sakit selama tiga bulan dan seterusnya cuti tanpa gaji sehingga kini.
“Saya ketika ini telah dibenarkan keluar hospital untuk menunggu temujanji berikutnya di hospital kerajaan dalam tempoh enam bulan.
“Selain itu, saya juga tidak dapat berjalan lama kerana badan lemah dan memerlukan bantuan untuk bergerak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Azahar memaklumkan dia hanya mampu mengeluarkan RM5,000 bagi pembedahan tersebut.
“Isterinya pula tidak bekerja, manakala dua anak yang bekerja hanya mempunyai pendapatan tidak seberapa selain seorang lagi masih belajar.
“Azahar juga perlu meneruskan rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) lebih lama selepas pembedahan kelak disebabkan dia menghidap diabetes sekali gus memerlukan kos lebih tinggi.
“Justeru, orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3193433435) atau melalui laman web onehopecharity.org,” katanya.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette















