Pekerja bengkel sibuk menyelenggara kereta yang dihantar pelanggan bagi melancarkan perjalanan pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Petaling Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 29 MAC 2025

BAGI  berjuta rakyat Malaysia, kereta bukan sekadar alat pengangkutan — ia merupakan satu pelaburan penting. Dan seperti mana-mana pelaburan, ia memerlukan perlindungan yang sesuai. Minyak enjin, yang sering digelar sebagai ‘jantung’ kenderaan, memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan enjin, meningkatkan prestasi, dan memastikan perjalanan yang lancar. Di samping itu, dengan penyelenggaraan yang betul dan penggunaan minyak enjin yang sesuai, kenderaan berusia juga boleh bertahan lama.

Memahami jenis-jenis minyak enjin
Di Malaysia, para pemandu mempunyai akses kepada pelbagai jenis minyak enjin yang direka untuk memenuhi keperluan kenderaan dan prestasi yang berbeza. Minyak mineral, contohnya, merupakan cecair paling asas yang diperoleh terus daripada minyak mentah. Ia sesuai untuk kenderaan lama atau yang tidak memerlukan pelincir berprestasi tinggi.

Selain minyak mineral, terdapat juga minyak sintetik yang merupakan pilihan bertaraf tinggi yang direka khas untuk prestasi yang lebih unggul. Ia mempunyai kawalan kelikatan yang cemerlang, rintangan tinggi terhadap suhu panas, dan tempoh penukaran minyak yang lebih panjang, menjadikannya pilihan ideal untuk kenderaan moden dan berprestasi tinggi.

Bagi mereka yang mencari pilihan yang lebih seimbang, minyak separa sintetik menawarkan gabungan antara minyak mineral dan sintetik yang memenuhi pilihan dari segi kecekapan dan kos. Ia memberikan perlindungan yang lebih baik berbanding minyak mineral, dan juga tanpa kos tinggi seperti minyak sintetik. Minyak jenis ini mengandungi bahan tambahan khas yang mengurangkan kebocoran dan kehausan, sekali gus membantu enjin berfungsi dengan lebih baik.

Permintaan terhadap pelincir tulen dijangka terus meningkat di pasaran Malaysia, daripada 293.15 juta liter pada tahun 2025 kepada 334.26 juta liter menjelang tahun 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 2.66% sepanjang tempoh jangkaan tersebut (2025–2030).

Risiko dan bahaya penggunaan produk tiruan
Walaupun rakyat Malaysia mempunyai banyak pilihan minyak enjin di pasaran, bukan semua pilihan itu bebas risiko. Minyak enjin tiruan, yang sering kelihatan hampir sama dengan produk tulen, memberi ancaman yang serius kepada prestasi kenderaan. Penggunaan minyak enjin tiruan boleh menyebabkan pelinciran yang tidak berkesan dan pembentukan mendapan, yang akhirnya membawa kepada kerosakan enjin yang semestinya mahal untuk dibaiki.

Disebabkan minyak enjin jarang diberi perhatian kerana ia tidak dapat dilihat secara langsung, ramai pemandu meremehkan kepentingannya. Ia sudah menjadi satu kebiasaan di mana pengguna lebih mengutamakan harga berbanding ketulenan, atau berpendapat bahawa semua jenis minyak enjin memberikan prestasi yang sama. Tanggapan salah ini telah membuka ruang untuk peningkatan produk tiruan, sekali gus membahayakan bukan sahaja kenderaan, tetapi juga keselamatan
pemandu dan penumpang.

Susulan isu ini, SIRIM QAS International Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Skim Pensijilan Minyak Enjin Tulen bagi melindungi pengguna serta ekosistem automotif secara keseluruhan. Minyak enjin tiruan bukan sahaja menjejaskan prestasi kenderaan, malah membahayakan keselamatan pengguna.

Bagi menangani isu ini, SIRIM QAS International memperkenalkan Skim Pensijilan Minyak Enjin Tulen yang memastikan setiap produk yang diperakui menjalani proses ujian ketat mengikut piawaian SIRIM 58. Ujian ini merangkumi penilaian terhadap kelikatan, kestabilan haba, tahap pencemaran, serta ketulenan formulasi bagi memastikan minyak enjin mencapai penanda aras prestasi dan keselamatan yang tertinggi.

“Kami mahu memperkasakan pengguna supaya mereka boleh membuat keputusan termaklum dengan yakin. Melalui ujian serta pensijilan yang teliti, kami bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah membantu Malaysia mengambil langkah yang lebih tegas untuk menangani masalah pemalsuan,” kata Ir. Zarina, Principal Testing Engineer di SIRIM QAS International.

Untuk menyokong perlindungan pengguna dengan lebih berkesan, ketulenan minyak enjin kini boleh disahkan dengan mudah melalui tiga langkah ringkas seperti berikut:
1. Gunakan Aplikasi Mudah Alih SIRIM – Imbas Label Keselamatan SIRIM yang terdapat pada pembungkusan minyak enjin yang diperakui.
2. Semak Label Pematuhan SIRIM – Cari Tanda SIRIM rasmi yang dilengkapkan dengan ciri keselamatan anti-pemalsuan.
3. Beli dari sumber yang dipercayai – Pastikan minyak enjin anda dibeli daripada peruncit sah atau kedai jenama rasmi.

Pilih minyak enjin tepat
Minyak enjin bukan penyelesaian ‘satu saiz untuk semua’. Ia bergantung pada usia dan model kenderaan anda dan keadaan pemanduan. Mulakan dengan merujuk manual kenderaan anda yang menyatakan jenis minyak dan gred kelikatan yang disyorkan. Iklim juga memainkan peranan. Cuaca panas dan lembap di Malaysia memerlukan minyak yang tahan suhu operasi yang tinggi supaya enjin kekal berfungsi dengan lancar.

Selain itu, pastikan anda berhati-hati dengan tawaran murah. Walaupun minyak enjin yang murah mungkin nampak berbaloi, ia sebenarnya boleh membawa risiko tersembunyi. Minyak tiruan mungkin tidak memberikan perlindungan yang mencukupi dan dalam sesetengah kes serius, ia boleh memberi kesan kerosakkan terhadap enjin. Pastikan anda mendapatkan produk yang boleh dipercayai dari awal penggunaan kenderaan untuk melindungi dan memastikan kecekapan enjin untuk jangka masa panjang.

Minyak enjin bukan sekadar mengurangkan geseran; ia turut membantu menyejukkan suhu enjin dengan menyebarkan haba, terutamanya semasa pemanduan jarak jauh atau ketika kesesakan lalu lintas. Bagaimanapun, tiada minyak yang tahan selama-lamanya. Lama-kelamaan, keupayaannya untuk melindungi dan membersih akan berkurangan. Oleh itu, penukaran minyak secara berkala amat penting bukan sahaja untuk prestasi, tetapi juga bagi kecekapan bahan api, kawalan pelepasan, dan ketahanan enjin.

Meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan penggunaan minyak enjin tulen dan amalan penyelenggaraan yang betul boleh mendatangkan perubahan positif. Bagi pihak industri automotif, ini merupakan peluang untuk mendidik dan memperkasakan pemandu untuk membuat keputusan yang lebih bijak. Akhir kata, prestasi kenderaan anda bukan sekadar ditentukan oleh apa yang ada di bawah bonet — tetapi juga oleh keputusan yang anda buat.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast