KUALA LUMPUR – Pelabur institusi tempatan meneruskan momentum belian untuk minggu kelapan berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM463.9 juta, meningkat berbanding RM61.0 juta minggu sebelumnya.

Malah, pelabur runcit tempatan turut kembali kepada belian bersih selepas dua minggu menjual bersih, dengan aliran masuk bersih RM52.7 juta.

MIDF Research berkata, pelabur asing pula kembali menjadi penjual bersih minggu lalu dengan aliran keluar bersih berjumlah RM516.6 juta selepas melakukan belian dua minggu berturut-turut.

Menurutnya, pelabur asing menjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar harian antara RM10.1 juta hingga RM272.3 juta.

Aliran keluar terbesar direkodkan pada Isnin (RM272.3 juta), diikuti Jumaat (RM103.6 juta), manakala Selasa mencatat aliran keluar terkecil (RM10.1 juta).’

Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk asing tertinggi ialah utiliti (RM52.5 juta), hartanah (RM35.4 juta), dan pengangkutan & logistik (RM32.1 juta).

Sebaliknya, sektor dengan aliran keluar asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM237.6 juta), telekomunikasi & media (RM142.7 juta), dan pembinaan (-RM89.1 juta).

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) merosot secara menyeluruh minggu lalu dengan peruncit tempatan turun 1.6%, institusi tempatan 12.9%, dan pelabur asing 8.3%. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast