Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Hakim yang dikaitkan dalam petikan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular tidak sepatutnya dipertimbangkan oleh Perdana Menteri bagi mengisi mana-mana daripada empat jawatan hakim yang ditinggalkan.

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh berkata, ia selagi dan sehingga dakwaan yang mengaitkan beliau dalam minit bocor tersebut disiasat dan diselesaikan sepenuhnya.

Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkenaan, sekiranya hakim tersebut didapati bersalah atas sebarang salah laku hasil siasatan itu maka integritinya akan tercemar dengan serius.

“Situasi ini menuntut siasatan yang menyeluruh dan telus dan sebarang tindakan yang kurang daripada itu boleh menyebabkan kehilangan keyakinan yang serius terhadap kerajaan Madani – sesuatu yang harus dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lalu tersebar di media sosial sejak kelmarin dipercayai bermula dari laman Reddit sebelum tersebar di Facebook dan aplikaksi X.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972; Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Ramkarpal turut menggesa supaya kebocoran minit mesyuarat JAC tersebut disiasat secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut bagaimana ia boleh dibocorkan, tetapi yang lebih penting dari segi kesahihan (authenticity) dan kandungan minit tersebut.

Katanya, beliau kesal kerana tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung isu utama iaitu sama ada dakwaan campur tangan kehakiman dalam minit bocor tersebut akan turut disiasat secara menyeluruh.

Tambah beliau, kenyataan Mohd Khalid seolah-olah mengesahkan bahawa minit yang bocor itu adalah sahih yang menjadikan keperluan untuk menyiasat di bawah OSA wajar sekali gus menambah kepentingan untuk menyiasat dakwaan salah laku yang terkandung dalam minit berkenaan.

Tegasnya, dakwaan tersebut adalah sangat serius kerana ia melibatkan asas integriti sebuah institusi utama dalam sistem demokrasi iaitu badan kehakiman, dan rakyat berhak mengetahui sama ada dakwaan itu benar atau tidak.

“Dalam keadaan ini, kerajaan tidak boleh dilihat sambil lewa dalam usahanya untuk melindungi integriti badan kehakiman, dan segala usaha mesti dilakukan bagi memastikan siasatan terhadap minit yang bocor itu dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya.

Tambahnya, umum mengetahui pelantikan bagi jawatan hakim itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, ujarnya, nasihat Perdana Menteri adalah amat penting dalam pelantikan-pelantikan ini dan mestilah dibuat dengan penuh berhati-hati, memandangkan betapa seriusnya dakwaan yang dikaitkan dengan hakim yang disebut dalam minit bocor tersebut.

Pelantikan yang akan dibuat itu adalah bagi jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan serta kemungkinan pelantikan Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast