Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang.

KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menolak sebarang usaha pihak berkuasa menyiasat pihak yang membocorkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada awam.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAPSY, Ho Chi Yang berkata, siasatan yang profesional dan berfakta sepatutnya dilakukan bagi tujuan mengesahkan kesahihan dokumen yang tular tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata berkata, ia sekali gus dapat membantu kerajaan menjelaskan isu berkenaan dan meredakan kebimbangan orang ramai.

Tambahnya, DAPSY sebelum ini konsisten menggesa supaya kerajaan menjawab persoalan awam yang semakin meningkat mengenai pelantikan kehakiman.

Ini kerana keyakinan rakyat terhadap kebebasan badan kehakiman boleh dipulihkan dengan penjelasan yang telus dan tepat pada masanya.

“Apabila rakyat bimbang mengenai integriti kehakiman, tindakan segera membuat laporan polis boleh dilihat sebagai cubaan menyekat semakan awam yang tulen.

“Justeru, DAPSY menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan supaya tidak mewujudkan duluan yang boleh menyekat keterbukaan atau melemahkan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lalu tersebar di media sosial sejak kelmarin dipercayai bermula dari laman Reddit sebelum tersebar di Facebook dan aplikaksi X.

Susulan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat kesahihan dokumen minit mesyuarat JAC tersebut dan sekiranya disahkan sahih dan diklasifikasikan sebagai rahsia, penyiaran atau pengedarannya boleh membawa implikasi undang-undang, khususnya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Sementara itu, tambah Chi Yang, DAPSY percaya ketelusan dan akauntabiliti adalah semangat asas yang mesti dipegang teguh untuk memelihara kebebasan badan kehakiman, sekali gus mengukuhkan lagi institusi demokrasi di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast