KUALA LUMPUR – Peningkatan entiti tidak beretika yang mendakwa menyediakan perkhidmatan perhubungan awam (PR) cukup membimbangkan.

Apatah lagi, mereka menarik minat pelanggan dengan janji sensasi seperti ‘liputan media terjamin’, ‘liputan tanpa belanja ribuan ringgit’, dan ‘visibiliti segera dalam masa 24 jam’, dakwa Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA Malaysia) Bersama Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners).

Dakwaan seperti ini jelas memesongkan makna sebenar dan prinsip teras PR dan menyifatkan tindakan seperti ini tidak bertanggungjawab dan bakal mencemarkan industri.

Selain itu, ia memperkecilkan profesion yang dibina atas asas strategi, kepercayaan dan hubungan jangka panjang, di samping merendahkan nilai sebenar komunikasi yang beretika kepada sekadar gimik pemasaran berbayar.

“Lebih membimbangkan, ia boleh menjejaskan kredibiliti keseluruhan industri komunikasi di Malaysia,” kata Presiden PRCA Mohd Said Bani C.M. Din dan Pengerusi PRactitioners, Datuk P. Kamalanathan dalam kenyataan hari ini.

Menurut mereka, tiada jalan pintas untuk mencapai matlamat PR yang sebenar kerana ia melibatkan usaha konsisten dalam membina reputasi, membina hubungan dan memperkukuh kepercayaan pihak berkepentingan, dan menyampaikan naratif yang tulen.

Oleh itu, dakwa mereka, mana-mana agensi yang menjanjikan liputan segera atau liputan media yang dijamin, sebenarnya memesongkan nilai-nilai profesion ini.

Ia kerana, secara prinsip, tiada agensi PR yang beretika boleh memberi jaminan liputan media.

“Keputusan memberi liputan ditentukan oleh pengamal media, bukan oleh pengamal PR. Jaminan yang diberi untuk liputan media, boleh dianggap sebagai ‘manipulasi’ yang mencemar integriti media dan memperdaya pelanggan,” kata mereka yang turut kesal dengan agensi yang memberi sebut harga yuran retainer terlalu rendah dan tidak masuk akal, tetapi menjanjikan perkhidmatan “PR strategik” bersama jaminan liputan.

Menurut Mohd Said Bani dan Kamalanathan, amalan sebegini menimbulkan senario yang tidak realistik dalam kalangan pelanggan dan merendahkan nilai kepakaran PR tulen, yang berpegang kepada piawaian antarabangsa dari segi ketelusan, akauntabiliti dan etika.

Bahkan, tawaran seperti ini mengambil kesempatan terhadap keinginan pelanggan untuk meraih visibiliti, dengan menyajikan sorotan kosong yang diselindungkan sebagai kredibiliti.

Ini bukan komunikasi strategik, sebaliknya adalah manipulasi yang menjejaskan reputasi industri yang dibina dengan penuh usaha dan integriti.

Sehubungan itu, PRCA Malaysia dan PRactitioners menggesa para pelanggan, pihak media dan seluruh ekosistem komunikasi untuk lebih berwaspada.

“Bezakan antara PR yang sah dan gimik murahan yang menyamar sebagai khidmat strategik. Kami juga menyeru pihak berkuasa dan badan profesional yang berkaitan untuk bersama-sama mempertahankan integriti dan maruah profesion ini,” ujarnya sambal menyifatkan tiada lorong ekspres untuk mencapai kredibiliti.

Bahkan, tegas mereka, setiap pengamal harus bersatu menolak amalan tidak beretika ini, demi mempertahankan masa depan industri perhubungan awam di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast