KUALA LUMPUR – Seramai 12 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan kes seorang pelajar wanita kolej swasta dikelar bekas teman lelakinya di sebuah institusi pengajian tinggi di di Subang Jaya, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, individu yang dirakam keterangan terdiri daripada kakitangan kolej, rakan mangsa dan saksi kejadian.
“Setakat ini, seramai 12 individu sudah dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Keadaan mangsa pula dilaporkan masih stabil,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Semalam, media melaporkan, kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa menghalangnya keluar rumah.
Suspek yang juga pelajar universiti sama telah direman selama empat hari bermula semalam sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian itu, mangsa yang juga warga asing berusia 20 tahun cedera selepas dikelar dengan pisau oleh suspek lelaki warga asing berusia 21 tahun. – MalaysiaGazette















