Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara menceroboh kawasan Parlimen, seorang penggiat Youtube atau Youtuber warganegara China dikenakan denda RM800 atau dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret M. S Arunjothy menjatuhkan hukuman itu selepas Li Zhechen, 25, mengaku bersalah dengan sengaja memasuki kawasan Parlimen yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan di bawah Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 5.30 petang, 9 Julai lalu mengikut Seksyen 7 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda boleh sampai RM1,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Zhenchen yang merupakan Youtuber separuh masa telah memasuki kawasan Parlimen untuk mengambil gambar dan video sebelum dia ditahan oleh polis yang bertugas pada hari tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Adiba Iman Md Hassan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam.

Peguam, Lee Ewe Kiang yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dan minta dimaafkan atas alasan anak guamnya telah insaf selain tidak berniat untuk menceroboh kawasan larangan.

“Pada hari kejadian, anak guam yang datang ke Malaysia untuk melancong sedang beriadah di Taman Tasik Perdana sebelum memasuki kawasan Parlimen yang terletak berdekatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast