KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung membantah sekeras-kerasnya cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk melaksanakan sistem parkir berpusat yang akan diuruskan syarikat konsesi baharu bermula 1 Ogos depan.
Menurut Ahli Parlimen PKR berkenaan, sistem kutipan parkir di bawah kawasan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu berisiko menjejaskan autonomi kewangan PBT terllibat.
Menurut beliau, pengurusan parkir sepatutnya menjadi bidang kuasa mutlak PBT yang mana hasil kutipan itu diterima terus untuk digunakan semula bagi meningkatkan kemudahan asas seperti penyelenggaraan jalan, taman awam atau lampu-lampu awam.
Malah, ujar beliau, sistem parkir sedia ada di bawah kerajaan negeri yang mana Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor mengenakan caj 10 peratus berfungsi dengan baik, justeru tidak perlu diubah.
“PBT yang paling hampir dengan rakyat, adalah pihak paling sesuai untuk menentukan penyelesaian bandar pintar dan sistem parkir yang sesuai untuk komuniti mereka.
“Malah cadangan untuk menambah petak parkir kini dikatakan memerlukan kelulusan peringkat negeri yang mana disifatkan satu bentuk campur tangan yang melemahkan PBT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan sistem kutipan bayaran parkir kenderaan di kawasan bawah empat PBT negeri itu akan dikendalikan Rantaian Mesra Sdn Bhd, sebagai syarikat konsesi baharu yang dilantik MBI Selangor, berkuat kuasa 1 Ogos depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pembaharuan itu bertujuan meningkatkan hasil kutipan caj parkir kenderaan yang kini hanya mampu mencapai sekitar 30 peratus daripada 1,000 petak.
Dalam pada itu, Chean Chun turut mengingatkan pada 1999 ketika kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang mana kaedah konsesi serupa pernah dibuat namun berakhir dengan kegagalan apabila syarikat terlibat muflis dan berhutang sebanyak RM7.2 dengan MBPJ.
Malah, ujarnya, Pakatan Harapan (PH) ketika itu juga membantah keras kaedah tersebut, justeru mempersoalkan mengapa kini mahu mengulangi kesilapan sama.
“Konsesi baharu selama 10 tahun ini dipromosikan sebagai peluang lumayan tetapi untuk siapa?
“Dasar awam seharusnya dibentuk berasaskan kepakaran, bukan oleh kepentingan yang memaksimumkan keuntungan melalui perjanjian konsesi yang sempit,” katanya. – MalaysiaGazette
















