Mohd Fitri Asmuni

KUALA LUMPUR – Pembangkang perlu menghentikan segala kontroversi dan tidak lagi mempolitikkan isu berkenaan Ketua Hakim Negara selepas pelantikan jawatan itu dimuktamadkan malam tadi.

Peguam, Mohd Fitri Asmuni berkata, pelantikan itu juga jelas dibuat mengikut proses yang betul di bawah Perlembagaan Persekutuan, sekali gus tidak menimbulkan persoalan dari sudut prosedur.

Namun, tegas beliau, sekiranya pembangkang masih tidak berpuas hati dan tetap mengkritik kononnya wujud campur tangan Perdana Menteri, ia hanya memperlihatkan pembangkang `bermasalah’ dan terdesak untuk mencipta kontroversi.

Mengulas pelantikan hakim baharu, Mohd Fitri yang juga Ahli Jawatankuasa Kanun Amanah Nasional berkata, beliau secara peribadi menyifatkan kesemua yang dilantik mempunyai pengalaman luas serta memiliki rekod perkhidmatan yang baik.

Malah, katanya, hakim-hakim berkenaan juga pernah berkhidmat sama ada sebagai peguam atau dalam Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum bergelar hakim, iaitu satu kombinasi pengalaman yang sangat berguna.

“Cuma yang menariknya, KHM (Ketua Hakim Negara) yang baru ni ada pengalaman dalam eksekutif dan pernah terlibat secara aktif dengan politik sebagai Senator, Setiausaha Politik kepada Pak Lah (bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan Timbalan Menteri KDN.

“Sesetengah orang tak kisah, tapi ada juga yang risau. Itu biasa. Kita raikan. Ia bergantung pada cara kita tengok,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia, tengah malam tadi, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, mengulas penglibatan Ketua Hakim Negara baharu dalam dunia politik seperti yang dibangkitkan segelintir pihak, kata Mohd Fitri, Wan Ahmad Farid tidak pernah berselindung, bahkan secara terbuka mengakui latar belakang politiknya yang pernah terlibat dengan UMNO.

Disebabkan itu, jelasnya, dalam kes mahkamah melibatkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau tarik diri dengan alasan yang sangat jelas.

“Keputusan beliau menarik diri dari mendengar kes Najib sedikit sebanyak menunjukkan integriti dan prinsip beliau yang tinggi dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman.

“Apapun, sejarah latar belakang politik beliau sebenarnya memberi satu cabaran besar untuk beliau buktikan integriti beliau sebagai Ketua Hakim Negara, terutamanya melibatkan kes-kes politik. Rakyat akan sentiasa memerhati dan menilai,” katanya.

Dari sisi lain, ujar Mohd Fitri, pengalaman luas Wan Ahmad Farid dalam bidang eksekutif sebagai Senator; Setiausaha Politik dan Timbalan Menteri memberi “plus point” dan nilai tambah kepada beliau dalam menilai dan membuat keputusan.

“Senang cakap, jangan kelentong dia la. He knows in and out how executive functions,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast