KENYATAAN akhbar Bersih berkenaan lantikan hakim-hakim baharu.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan lantikan Ketua Hakim Negara baharu tidak bermakna reformasi lantikan kehakiman bagi membebaskannya daripada campurtangan eksekutif perlu berhenti.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan terus dituntut untuk segera melaksanakan reformasi lantikan kehakiman turutama dengan mengurangkan kuasa Perdana Menteri dalam lantikan hakim-hakim.

Menurutnya, ia termasuk dengan mengiktiraf Suruhanjaya Lantikan Kehakiman (JAC) sebagai badan yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan.

“Komposisi dalam JAC juga perlu dirombak semula untuk mengurangkan kuota lantikan Perdana Menteri dalam keanggotaan JAC dengan memasukkan wakil daripada Majlis Peguam Malaysia, wakil Sabah Law Society dan Advocate Associates of Sarawak, serta wakil daripada ahli akademik dan anggota masyarakat sivil yang berkelayakan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia, tengah malam tadi, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, menurut Bersih, daripada sudut pelantikan, Perdana Menteri perlu diwajibkan untuk memberikan alasan yang berasas kepada awam jika terdapat penolakan calon Hakim yang dicadangkan oleh JAC dan beliau hanya boleh menolaknya sebanyak sekali sahaja.

Tegasnya, kerajaan harus melaksanakan janji dan komitmen untuk menghormati doktrin pengasingan kuasa dengan menambahbaik sistem sedia ada.

“Krisis kehakiman terburuk yang berlaku pada tahun 1988 harus dijadikan sempadan oleh semua pihak khususnya kerajaan yang memperlihat rakyat sudah tidak lagi menghormati badan kehakiman,” katanya.

Sementara itu, pihaknya turut merujuk pelantikan Wan Ahmad Farid yang pernah terlibat dalam politik sebagai ahli UMNO namun menarik diri daripada mendengar kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan untuk mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman.

Ujar Bersih, penegasan sedemikian amat penting untuk memastikan orang awam menghormati badan kehakiman sebagai badan yang mengangkat prinsip kedaulatan undang-undang.

“Bersih menegaskan prinsip tersebut harus terus didukung oleh beliau terutama ketika menjalankan tugas sebagai Ketua Hakim Negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast