Temu bual Eksulusif SkopMG bersama Penganalisis Politik UM, DR Muhammad Tawfiq Yaakub dan Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan di Pejabat Malaysia Gazette Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 17 JULAI 2025.

 

KUALA LUMPUR – Jika keberadaan Tan Sri Muhyiddin Yasin masih diperlukan sebagai nakhoda Parti Pribumi  Bersatu Malaysia (Bersatu), parti itu perlu membuat satu rombakan bagi memastikan ia kekal relevan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Muhammad Tawfik Yaakob berpendapat, Bersatu hanya perlu mewujudkan dua jawatan timbalan presiden jika akar umbi percaya  Muhyiddin masih kuat sebagai presiden.

“Saya juga melihat ada ketegangan dalam dalam parti ini, ia begitu jelas dapat diperhatikan di antara Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tetapi ia berjaya dikawal oleh kedua-dua pihak.

“Jadi, apa salahnya Bersatu berikan mereka berdua jawatan dan tanggungjawab yang sama untuk digalas. Ia boleh mengurangkan ketegangan yang berlaku,” katanya kepada MalaysiaGzette.

Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG dengan tajuk ‘Kepimpinan Bersatu, Jika Bukan Muhyiddin Siapa Layak?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial MalaysiaGazette, malam tadi.

Menurut beliau, jawatan dan tanggungjawab itu penting untuk Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Pada masa ini, kedua-dua mereka akan sama-sama bekerja untuk kemenangan pada PRU16. Ketika itu, lihatlah bagaimana respons pengundi dan rakyat terhadap perubahan yang dilakukan ini.

“Selesai pilihan raya nanti sambung balik bertembung atau bergelut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhammmad Tawfiq berpendapat, adakalanya pertukaran presiden bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah.

Tetapi, beliau mencadangkan supaya Bersatu menggunakan pendekatan lama dengan memanggil kembali Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersama-sama parti tersebut.

“Lupakan payung besar yang selama ini dilaung-laungkan untuk Melayu, sudah tiba masanya Bersatu kukuhkan kedudukan mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini Bersatu menerima desakan daripada akar umbi supaya menggantikan Muhyiddin dengan presiden yang lebih muda dan segar.

Namun, desakan itu dicantas apabila beberapa kepimpinan yang merasakan Muhyiddin masih diperlukan untuk mengemudi parti itu sehingga PRU16.

Muhyiddin juga tidak memberikan sebarang respons terhadap desakan itu dan hingga kini masih mengunci mulut sama ada mahu kekal atau sebaliknya.

Namun, Presiden Bersatu itu mempunyai pilihan untuk melepaskan jawatan tersebut pada perhimpunan agung tahunan parti tersebut yang dijadualkan berlangsung September ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast