Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil (duduk, tengah) bersama Ayob semasa pertemuan dengan penggiat seni di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Koperasi Rakaman Muzik Berhad (KOIRAMA) bimbang dan kecewa berhubung laporan elemen suci agama Islam seperti azan, zikir dan selawat telah didaftarkan sebagai milik hak cipta oleh pihak bukan Islam di bawah nama komersial.

Presidennya, Ayob Abd Majid memandang isu itu sebagai satu bentuk pencerobohan terhadap syiar Islam yang sangat serius dan boleh membawa implikasi besar terhadap keharmonian agama dan hak umat Islam di Malaysia.

“Sebagai koperasi yang menaungi para penggiat seni Islam dan rakaman suara dakwah di negara ini, kami menyeru pihak berkuasa agama khususnya Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyatakan pendirian rasmi dan fatwa berhubung hal ini.

Ayob (kiri) menyampaikan memorandum kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) perlu menyemak semula semua kelulusan pendaftaran elemen keagamaan agar tidak disalahgunakan untuk tujuan komersial atau manipulasi,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, KOIRAMA ada menyampaikan rasa kekecewaan itu semasa pertemuan penggiat seni dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil di sini baru-baru ini.

Menurut Ayob, semua penggiat seni Islam agar lebih berhati-hati dalam menyerahkan karya kepada syarikat penerbitan yang tidak menghormati sensitiviti agama.

“Kami ingin menegaskan bahawa azan, zikir dan selawat adalah syiar Islam bukan produk perniagaan. Ia bukan milik individu, syarikat atau bangsa tetapi milik ummah.

“Sekiranya hal ini tidak ditangani segera, ia boleh mencetuskan kegusaran besar dalam kalangan umat Islam dan membuka ruang kepada eksploitasi agama oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

KOIRAMA sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan karya dan suara Islam diangkat secara bermaruah dan tidak dicemari oleh unsur manipulasi.

“Seni adalah amanah, bukan alat komersial semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast