KAMI memandang serius laporan terkini media berkenaan satu acara di Kelantan yang didakwa sebagai ‘kempen kesedaran kesihatan’, tetapi menurut siasatan pihak polis, sebenarnya merupakan satu perhimpunan yang berkait rapat dengan aktiviti homoseksual. Perhimpunan tersebut jelas merupakan satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang sivil dan Syariah di Malaysia. Cubaan untuk menggambarkan perhimpunan itu sebagai inisiatif kesihatan awam adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan, khususnya apabila pihak berkuasa telah menemui ratusan kondom sebagai bukti yang membangkitkan kebimbangan berkenaan tujuan sebenar acara tersebut diadakan.
Di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, kesalahan seks luar tabii, termasuk perbuatan liwat secara sukarela, adalah satu jenayah. Peruntukan ini sejajar dengan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di banyak negeri, termasuk Kelantan, yang mengiktiraf perbuatan liwat dan penyerupaan jantina sebagai kesalahan menurut hukum Islam. Walaupun Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina telah memutuskan bahawa 16 daripada 18 peruntukan jenayah Syariah di Kelantan adalah tidak sah kerana melanggar bidang kuasa perundangan persekutuan, termasuk kesalahan liwat, keputusan tersebut tidak menafikan kedudukan Islam terhadap perbuatan homoseksualiti dan hukuman yang ditetapkan dalam prinsip Syariah. Keputusan itu hanya melibatkan isu bidang kuasa perundangan, dan tidak menolak bahawa hakikat bahawa ia tetap salah di sisi hukum Syarak. Maka, prinsip dan hukuman Islam terhadap perilaku seksual songsang kekal berkuat kuasa dalam kerangka perundangan yang sah menurut Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, kami menolak sekeras-kerasnya naratif yang cuba menormalisasikan atau melindungi acara sedemikian atas alasan kononnya sebagai usaha kesedaran kesihatan. Majlis AIDS Malaysia (MAC) serta mana-mana penganjur yang terlibat tidak sepatutnya menyalahgunakan mandat kesihatan awam untuk mengabsahkan aktiviti yang secara nyata bercanggah dengan undang-undang dan norma masyarakat Malaysia yang beragama.
Kami juga mempersoalkan kesahihan pengagihan atau preskripsi ubat antiretroviral seperti PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) di luar premis kesihatan yang berdaftar. Di Malaysia, ubat preskripsi hanya boleh dikeluarkan oleh pengamal perubatan yang berlesen dan bertugas di fasiliti kesihatan yang diluluskan seperti klinik atau hospital. Sebarang pengedaran ubat di tempat awam, lebih-lebih lagi dalam acara yang tidak mendapat kelulusan polis berpotensi melanggar Akta Racun 1952 dan Akta Perubatan 1971. Jika pengedaran ini benar berlaku, maka pihak yang terlibat harus disiasat dan didakwa.
Kami menggesa semua NGO kesihatan, khususnya MAC, dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menjalankan kempen kesihatan mereka secara telus, mematuhi undang-undang, dan selaras dengan nilai agama dan moral negara ini. Sebarang percubaan untuk mengeksploitasi platform kesihatan bagi mempromosikan gaya hidup LGBTQ secara terselindung adalah suatu bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan negara.
Akhir sekali, kami tegaskan bahawa homoseksualiti dan transgenderisme tidak diiktiraf oleh undang-undang negara ini sebagai amalan atau identiti yang sah. Penyebaran gaya hidup ini atas sebarang alasan mestilah ditolak, apatah lagi jika ia dilakukan dalam acara yang melanggar undang-undang dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Dengan ini, kami menyeru agar Majlis AIDS Malaysia (MAC) segera memberi penjelasan dan menghentikan sebarang kerjasama atau aktiviti yang berisiko mempromosikan perlakuan seksual yang menyalahi undang-undang dan mahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan secara rasmi status pengedaran ubat seperti PrEP di luar fasiliti kesihatan berdaftar dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat pelanggaran.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu meneruskan siasatan dan penguatkuasaan secara adil dan berkesan terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan haram dan menyalahi undang-undang.
Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat, berperlembagaan, dan menjunjung tinggi kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Jangan kita benarkan agenda asing merosakkan asas moral dan undang-undang negara ini.
Nur Farihah Meor Mazli,
Peguam, dan Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)















