Nurulhidayah Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyeru semua pihak dalam kepimpinan UMNO, lebih-lebih lagi mereka yang berada di posisi penting, sentiasa berhati-hati dan penuh adab dalam mengeluarkan kenyataan.

Menurut beliau, semua pihak di dalam UMNO perlu menghormati susunan organisasi dan memastikan mesej yang disampaikan tidak membuka ruang fitnah dan permusuhan.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk mengingatkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian antara parti komponen Barisan Nasional (BN) harus dielakkan.

Ujarnya, setiap parti komponen BN tidak boleh mendahulukan sentimen sempit atau kepentingan kelompok sendiri sehingga mengguris perasaan rakan-rakan dalam keluarga besar BN.

“Kenyataan yang terburu-buru, tanpa rujukan daripada kepimpinan tertinggi BN sendiri, boleh membuka ruang fitnah, salah tafsir, dan melemahkan kepercayaan parti-parti didalam komponen BN itu sendiri terhadap kepimpinan dan mungkin orang luar yang memerhati.

“Tindakan sedemikian, walaupun mungkin tidak disengajakan, tetap mencalarkan hubungan dan menjejaskan keharmonian dalam komponen BN sendiri,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Menurut Nurulhidayah, BN telah terbukti sebagai satu-satunya gabungan politik yang paling lama bertahan dalam sejarah negara iaitu lebih enam dekad, kerana asasnya adalah perpaduan, toleransi dan rasa hormat antara parti-parti komponennya.

Sehubungan itu, kata beliau, dalam menghadapi cabaran politik yang semakin kompleks hari ini, keperluan untuk menjaga hubungan antara parti-parti komponen bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keutamaan yang wajib dititikberatkan oleh semua pihak.

“Setiap parti dalam BN membawa kekuatan, keunikan, dan peranan tersendiri.

“Kita mungkin datang daripada latar belakang yang berbeza dari segi bangsa, budaya, dan cara berfikir, tetapi kita diikat oleh satu cita-cita yang sama, iaitu memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara menyeluruh,” katanya.

Tambahnya, keutuhan BN tidak hanya dinilai ketika parti itu menang, tetapi lebih-lebih lagi ketika diuji.

Sehubungan itu, ujarnya, sekarang merupakan masanya untuk menunjukkan BN bukan sekadar gabungan politik, tetapi sebuah keluarga politik yang berjiwa besar.

Dalam politik, jelas beliau, BN bukan sahaja diuji dengan serangan daripada luar, tetapi juga dengan kelemahan diri sendiri.

Antara kelemahan paling berbahaya adalah sikap besar diri, sombong dan ghairah untuk mendahului pimpinan dengan kenyataan-kenyataan yang tidak berstrategi.

“Ingatlah, setiap kata-kata kita bukan sahaja didengar oleh rakyat, tetapi juga diperhatikan oleh musuh politik.

“Mereka tidak perlu menyerang jika kita sendiri membuka ruang, mendedahkan kelemahan, dan menunjukkan perpecahan.

“Sebagai parti yang sudah lama berjuang, kita seharusnya sudah faham musuh akan menunggu saat kita leka, berpecah, dan bercakaran sesama sendiri.

“Mereka tidak perlu bersusah payah jika kita sendiri yang menconteng arang ke muka parti.

“Jangan biarkan lidah kita menjadi senjata musuh. Jangan jadi punca kelemahan yang mereka nanti-nantikan.

“Kita telah berjuang terlalu lama untuk dijatuhkan oleh kesilapan kita sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast