Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengecat bangunan masjid ketika menyertai program “Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI” di Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini. - Foto: FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Madani hari ini menyertai program “Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan Madani” di sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kelab Penyokong (BBC) Kerajaan Madani dalam satu kenyataan berkata, program itu merupakan manifestasi nyata komitmen Kerajaan Madani dalam menjadikan khidmat kepada rakyat sebagai teras kepimpinan.

Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksana termasuk program gotong-royong perdana di lokasi seperti Masjid Pusasda, Kampung Telok Pelandok dan Kampung Pachitan.

Tambahnya, turut diadakan adalah Jualan Rahmah dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan, sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap cabaran ekonomi yang dihadapi rakyat.

“Program ini turut disemarakkan lagi dengan kenduri rakyat dan sesi ramah mesra bersama komuniti setempat.

“Suasana santai dan bermakna ini menggalakkan interaksi terbuka antara pemimpin dan rakyat, seterusnya memperkukuh semangat kekitaan.

“Ia adalah manifestasi prinsip Madani yang meraikan nilai kasih sayang, saling menghormati dan perpaduan dalam masyarakat,” katanya.

Kenyataan itu menambah, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program tersebut menyerlahkan pendekatan berpaksikan rakyat yakni kepimpinan yang turun padang, mendengar sendiri keluh kesah rakyat, dan menyantuni mereka dengan empati serta tindakan yang nyata.

Katanya, ia adalah contoh nilai ihsan dan tanggungjawab sosial yang menjadi tunjang kepada falsafah Malaysia Madani..

“Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Madani akan terus menyokong penganjuran program seumpama ini secara berterusan.

“Hanya dengan mendekati dan memahami denyut nadi rakyat, kita mampu membina sebuah negara yang lebih inklusif, adil dan bermaruah, selaras dengan aspirasi besar Malaysia Madani,” kataya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast