KUALA LUMPUR – Agensi berita nasional, BERNAMA perlu membuat penjelasan berhubung pembatalan temu bual dengan peguam kontroversi, Siti Kassim.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, BERNAMA perlu ada alasan kenapa tindakan itu dilakukan, katanya dalam status media sosialnya hari ini.
Beliau merujuk kepada laporan portal FMT yang menyiarkan kenyataan Siti yang mempersoalkan sama ada Barisan Nasional masih mengawal BERNAMA selepas saluran berita kendalian agensi berita nasional itu membatalkan temu bual bersamanya yang dijadual esok secara tiba-tiba.
Siti tidak tahu siapa yang mengarahkan pembatalan itu seperti laporan FMT.
“Saya fikir individu atau beberapa individu cukup tinggi dalam rantaian arahan sama ada di Bernama atau di Kementerian Penerangan – kebebasan editorial dihalang,” tulisnya di Facebooknya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi BERNAMA News Channel (BNC), Hakimi Mohd. Zain dalam kenyataan balasnya menafikan temu bual dengan Siti dibatalkan cuma ia ditangguhkan kepada tarikh lain.
Menurutnya, temu bual itu cuma ditangguhkan dan akan diselaraskan semula oleh penerbit, Gerard Ratnam dengan memberi fokus isu pelantikan Peguam Negara.
“Sebagai saluran berita bertanggung jawab, BNC tidak pernah membatalkan temu bual mana-mana individu,” katanya.
Dalam masa yang sama, pihak memohon maaf kerana pertukaran masa temu bual itu menyebabkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati terutama kepada Siti dan berjanji akan memaklumkan kepadanya apabila tarikh baharu ditetapkan.- MalaysiaGazette
















